Daddyhood sasar Homebois muncul juara untuk MPL MY musim ke-11

502

Pengasas pasukan e-sports Homebois iaitu Daddyhood meletak sasaran untuk pasukannya menjuarainya musim ke-11 Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL Malaysia).

Homebois memulakan saingan MPL mereka dengan langkah kanan apabila berjaya memperoleh dua kemenangan berturut selepas menewaskan juara bertahan Team Haq dengan 2-0 dan Team Secret juga dengan 2-0 sebentar tadi.


Menurut Daddyhood atau nama sebenarnya Nureddy Nursal, sasaran untuk menjuarai MPL musim ini adalah kerana mereka menyasarkan untuk layak ke The Mobile Legends: Bang Bang Southeast Asia Cup (MSC).

“Alhamdulillah kita mulakan minggu ini dengan baik, pihak lawan juga bagus tapi mungkin ini adalah rezeki kami. Untuk musim ini juga kami lakukan persiapan lebih rapi jadi saya percaya usaha tak pernah mengkhianati hasil.

Ya memandangkan slot ke MSC satu, jadi sasaran kita adalah untuk jadi juara. Yang penting kita mahu bawa nama Malaysia ke peringkat tertinggi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bagi memastikan musim ini berjalan dengan lancar dan mahu mencapai sasaran, Homeboiss bukan sahaja membawa masuk pemain import dari Indonesia iaitu Barbossa, tetapi juga membawa masuk jurulatih terkenal Steve “Dale” Vitug dari Filipina.

Percaturan yang dilakukan itu adalah bagi memastikan sasaran yang diletak dapat dicapai berikutan pada saingan musim lalu mereka cemerlang dalam peringkat kumpulan tetapi kecundang apabila masuk ke pusingan play-off.

“Ia melibatkan endurance, jadi kita melihat itu adalah kelemahan kita, oleh itu kita cuba perbaiki. Dengan format baru di mana peringkat kumpulan sedikit berbeza, jika kita dapat nombor 1 atau no 2 ke akan dapat auto wildcard pergi satu langkah ke depan, jadi tinggal satu atau dua perlawanan sahaja untuk jadi juara.”

Dalam pada itu, Daddyhood juga menafikan kehadiran selebriti e-sports tanah air Soloz ke dalam pasukan untuk tujuan pemasaran, sebaliknya hanya untuk memperkuatkan pasukan.

Tambahnya lagi, perbincangan untuk Soloz menyertai mereka sudah lama berlaku dan beliau mengumumkan penambahan pemain baru dalam pasukannya apabila Soloz dapat memberikan komitmen.

“Kalau kita nak buat pemasaran, kita dah umum lebih awal tapi kita umum di saat-saat akhir sebab nak Soloz lebih bersedia. Soloz mahu bersara sebagai seorang pemain yang mempunyai gelaran.”

Sementara itu, beliau turut berbangga apabila salah seorang pemainnya iaitu Chibii terpilih untuk menyertai pasukan kebangsaan Malaysia untuk temasya Sukan SEA nanti.

Beliau berkata pemilihan Chibii adalah yang terbaik kerana pemain itu merupakan Jungler terbaik di negara termasuk pernah dinobat sebagai Most Valueble Player (MVP) sebelum ini.