TMJ akui pemilihan pemain tempatan ke JDT dilakukan olehnya sendiri

3,478

Satu negara mengetahui untuk seseorang pemain tempatan yang mahu menyertai kelab gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT), pemain tersebut perlu menjadi salah seorang pemain terbaik di negara.

Tidak dinafikan ramai pemain tempatan yang memasang impian untuk menyarung jersi JDT, namun hanya segelintir sahaja yang akan terpilih kerana proses pemilihan atau scouting pemain tempatan dilakukan sendiri oleh pemilik kelab iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris.


“Untuk pemilihan pemain tempatan kita (JDT) tak pernah ada scout kerana saya sendiri yang memilih.

Pada 2013 saya tak kenal pun seorang pemain-pemain Malaysia, tapi Alhamdulillah sejak 2014 saya lebih kenal pemain-pemain dan mula untuk merekrut pemain,”

katanya dalam temubual eksklusif bersama sebuah radio popular tempatan pagi tadi.

TMJ bagaimanapun turut mendedahkan pada mulanya baginda turut mengalami masalah untuk merekrut pemain kerana tiada pemain yang berani untuk sertai kelab Harimau Selatan kerana bimbang tidak stabil.

“Tapi mula-mula tak ada orang nak masuk JDT sebab tiada keyakinan kerana mereka takut dan ingat bola sepak ini sekadar hobi sementara saya, lepas tu tak bayar gaji dan timbul pelbagai masalah pada masa akan datang. Susah juga pada mulanya untuk menyakinkan pemain-pemain masuk ke JDT.”

Dalam pada itu, TMJ berkata untuk pemilihan pemain import pula beliau menyerahkan tugas tersebut kepada dua individu penting kelab iaitu Pengarah Sukan JDT, Martin Prest dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards.

“Untuk pemilihan pemain import sehingga ke hari ini saya dapat bantuan dari pasukan saya iaitu dari Martin Prest dan Alistair Edwards yang mana mereka akan hubungi saya dan saya akan beritahu mereka apa type of players saya nak mereka akan beri beberapa pilihan.

Selepas itu pasukan scouting terbang ke negara tersebut untuk ikut pemain itu selama dua minggu bukan sahaja untuk melihat pemain itu bermain bola tetapi juga untuk melihat sikap dan perangai pemain itu boleh ke tak menimbulkan apa-apa masalah dalam pasukan.”

Tambah TMJ lagi, faktor-faktor tersebut sangat mustahak bagi baginda kerana ia akan dimasukkan ke dalam laporan penuh sebelum baginda membuat keputusan akhir.

Dengan proses pemilihan pemain yang begitu teliti, maka tidak hairan apabila melihat pemain-pemain baru JDT tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan dan mampu menerapkan falsafah bola sepak JDT.