Pemilihan Kalamullah Al-Hafiz sebagai penjaga gol utama KDA: Satu pilihan bijak untuk masa depan
Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) baru-baru ini mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Kelantan United FC dalam saingan Liga Super 2023.
Meskipun berjaya meraih tiga mata, KDA mendapat kecaman atas pertahanan yang agak lemah dan membenarkan gol-gol yang mudah dibolosi oleh Kelantan United.
Perhatian tertumpu kepada penjaga gol baharu KDA, Kalamullah Al-Hafiz, yang baru didatangkan dari Petaling Jaya City FC musim ini.
Setakat ini beliau menjadi pilihan pengendali KDA, Nafuzi Zain dalam setiap perlawanan dan sudah bolos enam gol daripada enam perlawanan.
Terdapat segelintir penyokong KDA yang kecewa dengan penampilannya dan meminta agar digantikan oleh Ifwat Akmal.
Walaubagaimanapun, pemilihan Kalamullah sebagai penjaga gol utama KDA tetap dianggap sebagai pilihan yang bijak untuk masa depan.
Corak permainan yang ditunjukkan oleh beliau sangat sesuai dengan cara permainan KDA di bawah ketua jurulatih, Nafuzi Zain, yang suka menggunakan taktik modern goalkeeper.
Ini menjadi sebab utama Kalamullah menjadi pilihan Nafuzi. Beliau memerlukan penjaga gol yang selesa bermain bola dari bawah dan melakukan build-up untuk pasukan membuat serangan serta memberikan ruang kepada bahagian pertahanan untuk mengawal lebih banyak ruang di bahagian hadapan padang.
Ifwat pula kurang sesuai dengan corak permainan seperti ini, dan lebih mempunyai ciri-ciri penjaga gol yang tradisional.
Selain itu, faktor fizikal seperti ketinggian yang dimiliki oleh Kalamullah juga memberikan kelebihan kepada pasukan, kerana beliau mampu mencapai bola yang tinggi di penjuru gol berbanding dengan Ifwat.
Pemilihan Kalamullah sebagai penjaga gol utama KDA merupakan satu pilihan yang bijak dan strategik.
Walaupun mendapat kecaman awal dari beberapa penyokong, beliau mampu menunjukkan kebolehan dan potensi yang ada dalam pasukan KDA.
Semoga Kalamullah dan pasukan KDA terus menunjukkan prestasi terbaik mereka dalam setiap pertandingan yang akan datang.