KBS sedia tawar pilihan rumput jenis lain selain Zeon Zoysia – Hannah Yeoh

499

Menteri Kementerian Beliau Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh memberitahu beliau telah mengarahkan pihak kementeriannya untuk mencari dan memberikan pilihan kepada pihak kerajaan negeri untuk memilih jenis rumput yang dimahukan bagi menaik taraf rumput padang di stadium masing-masing.

Hannah mengakui ada pihak negeri yang tidak mahu menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia walaupun pihaknya mahu memberi geran untuk penukaran rumput padang bola sepak kerana tidak mampu menanggung kos penyelenggaran yang tinggi.


“Kita tawarkan geran itu kepada EXCO negeri melalui mesyuarat EXCO dan kita akan memanggil untuk satu lagi mesyuarat untuk merekodkan samada mereka mahu atau tidak.

Cuma selepas mesyuarat itu saya ada ke Sabah, EXCO Sabah ada beritahu saya penyelenggaran rumput jenis Zeon Zoysia mahal. Mereka juga ada tunjuk rumput jenis rumput lembu yang digunakan di Stadium Likas yang mana mereka lebih suka kerana kos penyelenggaran lebih murah.

Itu sebab saya minta Ketua Setiausaha (KSU) dan pihak kementerian saya untuk sediakan beberapa pilihan rumput lain yang mempunyai standard antarabangsa supaya kita tahu perbezaan harga,”

katanya.

Tambahnya lagi, dengan adanya beberapa pilihan jenis rumput ini sekaligus akan memberi peluang kepada pihak negeri untuk pilih jenis rumput yang kos penyelenggarannya tidak membebankan mereka.

Inisiatif oleh KBS ini mahu dilakukan kerana mahu setiap stadium di setiap negeri mempunyai rumput padang berkualiti yang mana ia secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti bola sepak negara.

Bagaimanapun inisiatif itu mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif yang mana ada beberapa negeri yang bersetuju dan ada juga tidak kerana tidak mampu untuk menanggung kos penyelenggaran yang tinggi.

Dalam pada itu, Hannah turut menjelaskan buat masa ini dana untuk geran rumput itu masih belum ada kerana pihaknya mahu mendapatkan maklum balas dari kesemua pihak negeri terlebih dahulu.

“Dana belum ada lagi. Sebab itu kita perlu tunggu mesyuarat kedua dahulu supaya kita dapat maklum balas mereka mahu atau tidak. Jika mereka mahu, baru kita (KBS) akan cari dana.”