Wang Askandar mahu tebus kekecewaan tahun lalu dengan menakluk Gunung Everest
Lt. Kolonel Wang Askandar Ampuan Yaacub merupakan salah seorang pendaki Malaysia yang dalam misi Malaysia Everest lalu kecewa apabila beliau dan rakan pendaki lain tidak dapat menawan puncak Gunung Everest dek cuaca yang berbahaya.
Beliau bagaimanapun bertekad untuk menebus kekecewaan tahun lalu apabila beliau bersama dua lagi pendaki negara akan menyambung ekspidisi mereka untuk menakluk gunung tertinggi di dunia itu.
Untuk memastikan beliau dan rakan pendaki lain bersedia, mereka telah melakukan persiapan lebih awal termasuk akan terbang lebih awal ke Nepal iaitu pada 2 April hingga 3 Jun dan akan cuba sampai ke puncak gunung pada jendela pertama yang mana dijangka ketika itu cuaca dalam keadaan baik.
“Kita membuat aklimatisasi lebih awal di kawasan pergunungan Everest selama sebulan. Jadi sepanjang latihan tersebut kita akan persiapkan fizikal untuk summit push atau pergi ke puncak. Kita juga akan mencari window hari yang sesuai untuk mendaki yang di sarankan oleh sherpa di Nepal,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau juga bercita-cita untuk melatih golongan muda untuk menjadi pendaki gunung yang handal dan yang bersiap sedia mengambil cabaran menawan gunung-gunung di seluruh dunia.
Wang bukan sahaja berdepan cabaran untuk mendaki gunung paling berbahaya di dunia itu sahaja, tetapi beliau juga akan pastikan kedua-dua rakan senegara yang mana salah seorangnya OKU (orang kelainan upaya) pekak iaitu Hawari Hashim turut sama berjaya menawan puncak Everest.
Menurutnya, beliau, Hawari dan seorang lagi pendaki telah menjalani latihan bersama pasukan pendaki selama dua tahun, termasuk dalam ekspedisi ke Annapurna base camp dan Everest base camp.
Selain menghadapi cabaran teknikal di kawasan tersebut, Wang juga menekankan pentingnya disiplin dan keazaman yang tinggi untuk menjayakan ekspedisi ini.
Setiap anggota pasukan harus mencari ilmu, pengalaman, dan membuat persiapan yang mencukupi dari segi fizikal dan menguruskan pasukan.
Selain itu, mereka juga perlu mengubah cara hidup dan gaya mereka yang bersesuaian dengan kawasan yang mereka hadapi, termasuk cara makan, tidur, berjalan, bernafas dan juga cara membuang air.
“Cabaran itu banyak, pergunungan tinggi Alpine mission begitu teknikal bukan mudah untuk di fahami kerana banyak konsep-konsep. Tanpa disiplin dan keazaman yang tinggi susah untuk di lakukan untuk mencari pengalaman, membuat persediaan dalam beberapa tahun menyiapkan fizikal dan pengurusan pasukan.”
Beliau turut meluahkan rasa bangganya dengan kemampuan Hawari dan keyakinannya Hawari dapat menjayakan ekspedisi kali ini bersama-sama dengan pasukan pendaki yang lain.
Malah mereka juga sudah berlatih cara untuk berkomunikasi dengan menggunakan isyarat istimewa ketika mereka sedang mendaki.
“Harapan kami misi ini dapat dilaksanakan berada di puncak. Bila kita di Everest base camp antarabangsa melihat bendera-bendera negara lain berkibar di base camp tersebut dan di bawa sepanjang trekking ke puncak, membuatkan kami bersemangat supaya kita jangan ketinggalan.”
Beliau juga ingin menggalakkan golongan muda untuk menerapkan semangat dan kemahuan untuk menghadapi cabaran, dan membuktikan bahawa Malaysia mampu bersaing dengan negara-negara maju di dunia.
Kami berharap agar rakyat Malaysia memberikan sokongan dan semangat yang sama kepada pasukan pendaki gunung Malaysia, dan turut mendoakan agar ekspedisi ke Gunung Everest kali ini berjaya dan dapat membawa nama Malaysia ke tahap yang lebih tinggi di arena dunia.