Harga tiket RM30 untuk perlawanan Harimau Malaya pun nak merungut mahal?

420

Ekor Harimau Malaya teruja untuk menanti perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pasukan kebangsaan menentang Turkmenistan dan Hong Kong yang dijadualkan berlangsung pada 23 dan 28 bulan Mac di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.

Bagi majoriti penyokong bola sepak, harga tiket serendah RM30 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak adalah anggaran yang berpatutan bagi acara yang begitu dinanti-nantikan.


Namun, terdapat segelintir penyokong yang menganggap harga tiket tersebut terlalu mahal dan mereka telah menyuarakan rasa tidak puas hati di media sosial.

Mahu melihat skuad negara beraksi dengan pasukan terbaik, tetapi harga tiket yang berpatutan dikatakan terlalu mahal.

Ada sahaja yang tak betul dengan segelintir penyokong ini. Harga tiket yang dikenakan adalah sangat berpatutan dan tidak terlalu mahal jika hendak dibandingkan dengan perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Tambahan pula, dengan harga tiket RM30 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak, penyokong akan merasai suasana stadium berkelas dunia kerana SSI merupakan antara salah sebuah stadium terbaik di Asia.

Bandingkan dengan harga tiket untuk acara sukan lain di Malaysia, harga tiket untuk perlawanan bola sepak Malaysia masih dianggap murah.

Harga tiket untuk kejohanan badminton, golf dan perlumbaan kereta yang diadakan di negara ini jauh lebih mahal tetapi tiada yang merungut, malah tidak mendapat sebanyak perhatian seperti perlawanan bola sepak Malaysia.

Rasanya tak perlu nak merungut mengenai harga tiket kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah memikirkan yang sebaiknya dan harga dikenakan adalah sangat berpatutan.

Dalam pada itu, selain harga tiket, satu lagi persoalan yang menjadi tanda tanya terutamanya daripada penyokong daripada warga Orang Kelainan Upaya (OKU).

Adakah mereka akan dibenarkan masuk secara percuma atau turut dikenakan kepada mereka?

Ini kerana ketika kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil tahun lalu, penyokong OKU dibenarkan masuk secara percuma dengan seorang pengiring.

Diharap selepas ini pihak FAM akan turut mengumumkan harga tiket dan juga maklumat mengenai akses untuk penyokong OKU supaya mereka tidak berasa seperti diabaikan sedangkan ramai daripada golongan mereka adalah penyokong tegar Harimau Malaya.