Selepas futsal, harap JDT terlibat dalam bola sepak wanita pula untuk angkat martabat ‘scene’ berkenaan
Walaupun tidak sampai setahun ditubuhkan, pasukan futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin melangkah ke hadapan apabila kini sudah memiliki gelanggang sendiri yang berkelas dunia.
Gelanggang yang terletak di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) masih belum digunakan oleh pasukan futsal JDT lagi pada musim ini kerana mereka masih melalui perlawanan di gelanggang lawan sejak sepak mula Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL).
Namun, ramai yang sudah menantikan ‘debut’ pertama gelanggang itu dalam saingan MPFL kerana begitu teruja dengan venue berkelas dunia itu.
Gelanggang futsal itu menjadi bukti kesungguhan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam meningkatkan tahap futsal di negara ini.
Tidak dinafikan lagi bahawa baginda merupakan seorang yang bercita-cita tinggi dan sentiasa memastikan apa yang beliau mulakan akan berakhir dengan kejayaan.
Lihat saja pasukan bola sepak JDT yang mula ditubuhkan pada 2013 kini sudah boleh berdiri sama tinggi dengan pasukan-pasukan gergasi Asia.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebelum kehadiran JDT dalam arena futsal negara, tidak ramai yang mengikuti atau mengambil berat tentang kejohanan MPFL.
Dan kini situasi itu sudah berbeza apabila semakin ramai orang yang mula menunjukkan minat terhadap kejohanan MPFL.
Sebelum ini, TMJ pernah berkata bahawa baginda akan mewujudkan pasukan wanita JDT pada masa hadapan, selepas kewangan kelab semakin baik.
Perkara itu sebenarnya sudah lama ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak dalam kalangan wanita, terutama pemain-pemain bola sepak wanita tempatan.
Buat masa ini, arena bola sepak wanita di negara ini boleh dikatakan agak terkebelakang berbanding bola sepak lelaki.
Sekiranya JDT mula ‘masuk’ ke dalam arena bola sepak wanita pula, sudah pasti lebih ramai pihak yang akan menunjukkan minat.
Bukan sahaja dari kalangan peminat, tetapi pasukan-pasukan lain pastinya akan mula memandang serius dan meningkatkan tahap mereka kerana sedar penanda aras yang akan diletakkan JDT.
Orang ramai yang selama ini memperkecilkan bola sepak wanita juga akan mula mengambil serius sekiranya JDT mula melibatkan diri.
Sejak pasukan bola sepak wanita diambil alih ketua jurulatih dari Jordan, Soleen Al-Zou’bi, dapat dilihat sedikit peningkatan serta banyak inisiatif yang dilakukannya untuk mengubah ekosistem bola sepak wanita di negara ini.
Sekiranya TMJ dan JDT mula aktif dalam bola sepak wanita, ia akan dapat membantu proses peningkatan yang cuba dilakukan oleh Soleen.