Penyokong Indonesia memang semangat, bagi mereka jika mati di stadium mati dalam kebanggaan – Alias Zain

457

Menjadi penyokong sesebuah pasukan bola sepak memerlukan banyak pengorbanan terutama dari segi wang, masa dan tenaga.

Ia bukanlah satu tugas yang mudah dengan pelbagai cabaran akan menanti, lebih-lebih lagi apabila menghadapi ‘away day’ ke gelanggang lawan, terutama ke luar negara.


Bagi seorang penyokong tegar Selangor FC, Alias Zain, beliau mengakui pernah merasa gementar apabila mahu terbang ke Malang, Indonesia bagi menyaksikan Selangor menentang Arema FC kerana ‘permusuhan’ antara kedua-dua negara itu dalam bola sepak.

Beliau berkata, ketika itu beliau tidak kisah sekiranya ajalnya di sana kerana bersemangat untuk menyaksikan pasukan kesayangannya itu.

“Masa 2014 ketika Selangor menentang Arema saya pergi ke Kota Malang untuk ‘away day’, walaupun takut saya tetap mahu pergi juga.

Saya fikir jika sudah sampai ajal, matilah tetapi saya pergi untuk Selangor, ketika itu saya dan lain-lain tak bawa identiti Selangor ataupun Malaysia kami datang ibarat seperti pelancong kerana perasaan takut,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau pada mulanya merancang untuk memakai jersi Arema untuk hadir ke stadium tetapi dimarahi oleh penyokong Arema yang berkata mereka tidak sepatutnya berasa takut untuk bertandang ke gelanggang lawan.

Katanya, sejak daripada itu semangat beliau untuk menyokong pasukan Selangor serta pasukan kebangsaan semakin tinggi.

“Ada seorang penyokong Arema berkata kepada kami supaya tidak takut untuk ‘away day’, mereka di sana sekiranya Arema bermain menentang musuh tradisi mereka, Surabaya, Kota Malang akan kosong.

Anak-anak lelaki bujang akan pergi beramai-ramai ke Surabaya, bagi mereka sekiranya mati di sana mereka akan mati dalam kebanggaan.”

Katanya, semangat yang ditunjukkan oleh penyokong Indonesia dalam memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka membuatkan beliau kagum dan berharap penyokong Malaysia akan lebih bersemangat dalam menyokong pasukan kesayangan mereka.

Tambahnya, walaupun ada ramai yang tidak dapat memasuki stadium kerana sudah penuh, mereka tetap akan berkumpul di luar stadium untuk merasai suasana itu.