Budaya percuma harus dikikis daripada peminat bola sepak tempatan, kalau semua nak percuma susahlah – Haresh Deol

379

Musim ini, dua syarikat penyiaran gergasi negara iaitu Astro dan RTM telah dipilih sebagai rakan penyiaran Malaysian Football League (MFL) untuk menyiarkan perlawanan Liga Super 2023.

Astro akan mendapat hak untuk menyiarkan semua perlawanan manakala RTM pula hanya akan menyiarkan perlawanan terpilih sahaja.


Perkara ini mendapat pelbagai respon daripada peminat bola sepak tempatan dengan ada yang merungut tidak dapat menyaksikan kesemua perlawanan secara percuma di atas talian seperti musim lalu apabila Unifi mendapatkan hak penyiaran.

Bercakap mengenai perkara ini, wartawan sukan berpengalaman, Haresh Deol berkata, budaya peminat Malaysia yang sentiasa mahukan benda percuma harus dikikis.

Beliau melihat pengambilalihan oleh Astro sebagai penyiar rasmi adalah sesuatu yang baik dalam memeriahkan lagi penyiaran saingan Liga Super 2023.

“Astro merupakan gergasi penyiaran dan mereka ada pengalaman yang luas dalam bidadng ini, mereka juga musim ini mempunyai program sebelum, selepas dan ketika perlawanan, ia menjadikan siaran lebih menarik.

Budaya percuma ini harus dikikis, jika nak harap semua benda percuma susahlah. Ada saja siaran percuma di RTM Cuma bukan semua perlawanan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga mempersoalkan segelintir peminat bola sepak di negara ini yang sanggup berbelanja untuk menyokong bola sepak luar tetapi berkira apabila melibatkan bola sepak tempatan.

“Ada segelintir peminat yang hipokrit, contohnya beli jersi pasukan luar boleh saja original tetapi untuk jersi pasukan tempatan yang berharga RM50 pun sudah merungut mahal.

Nak pergi tonton perlawanan bola sepak di stadium berharga RM30 pun ada yang kata mahal, macam mana nak sokong bola sepak tempatan.”

Katanya, ia semua bergantung kepada peminat itu sendiri sama ada mahu meletakkan bola sepak tempatan sebagai keutamaan atau tidak.