Penstrukturan kalendar FIFA 2025-2030 akan saksikan jumlah perlawanan persahabatan Harimau Malaya bertambah

672

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Presidennya, Gianni Infantino telah mengumumkan beberapa insiatif baru termasuk penstrukturan kalendar FIFA bermula penggal 2025-2030.

Infantino mengumumkan inisiatif tersebut selepas beliau sekali lagi dilantik menjadi Presiden FIFA untuk sepenggal lagi dari 2023-2027 selepas menang mudah tanpa bertanding.


Untuk penstrukturan kalendar FIFA perlawanan bola sepak lelaki adalah seperti berikut:

  • Mac: sembilan hari dengan dua perlawanan
  • Jun: sembilan hari dengan dua perlawanan (termasuk persahabatan untuk persiapan kejohanan)
  • Hujung September/awal Oktober: 16 hari dengan empat perlawanan (akan mula diperkenal pada 2026, dua perlawanan akan kekal pada September dan Oktober 2025)
  • November: sembilan hari dengan dua perlawanan.

Dengan perubahan kalendar FIFA yang baru ini juga akan memberi impak kepada pasukan kebangsaan Malaysia di mana perlawanan persahabatan skuad Harimau Malaya juga akan bertambah.

Bagaimanapun untuk kalendar FIFA bola sepak wanita 2024-2025 pula akan mempunyai enam jendela antarabangsa setiap tahun, dengan setiap jendela termasuk variasi jenis jendela untuk membolehkan konfederasi menganjurkan kejohanan kelayakan tertentu dan untuk ahli persatuan bermain dalam perlawanan persahabatan.

FIFA turut akan menambah Kejohanan Bola Sepak Wanita Olimpik (25 Julai – 10 Ogos 2024) dalam kalendar, termasuk CONCACAF W Gold Cup yang akan dimainkan buat pertama kali bermula 20 Februari hingga 10 Mac 2024.

Dalam pada itu, Infantino juga mengumumkan mengenai penstrukturan kejohanan FIFA Piala Dunia B-17 yang sebelum dianjurkan setiap dua tahun akan dirombak yang mana ia akan dianjurkan pada setiap tahun.

Perubahan ini akan memberi lebih ruang dan peluang kepada bakat-bakat lelaki dan wanita untuk mendapatkan lebih minit permainan bertemu dengan pasukan terbaik di seluruh dunia, sekaligus dan dapat memenuhi potensi mereka.

Sementara itu, Infantino juga telah mengumumkan projek Forward 3.0 yang mana Malaysia turut akan mendapat manfaat dari projek tersebut dimana FIFA akan menaikkan bajet yang akan diagihkan kepada setiap ahli persatuan.

Ia adalah bertujuan untuk meningkatkan pelaburan pembangunan bola sepak secara global kerana beliau berkata ‘Wang FIFA adalah wang anda juga (ahli persatuan). Ia untuk bola sepak dan pembangunan bola sepak’.

Antara inisiatif lain termasuk tawaran pakej sebanyak USD153 juta (sekitar RM682 juta) pada kejohanan FIFA Piala Dunia Wanita yang akan menyaksikan jumlah tersebut lebih tinggi 3 kali ganda berbanding jumlah yang ditawarkan pada empat tahun lalu di Perancis dan 10 kali ganda lebih dari jumlah yang ditawarkan pada kejohanan di Kanada pada 2015.