Nooa Laine sudah tiba! Tunjuk komitmen tinggi sarung jersi Harimau Malaya

219

Berita gembira buat peminat bola sepak Malaysia apabila pemain warisan, Nooa Laine sudah pun tiba di Malaysia lebih awal menanti rakan sepasukan lain sebelum mereka bergerak ke Johor Bahru esok.

Nooa Laine antara pemain warisan baru yang dipanggil oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya untuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong.


Perlawanan yang akan berlangsung pada 23 dan 28 Mac ini akan mengambil tempat di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Seorang lagi pemain warisan Dion Cools juga kembali disenaraikan dalam skuad kali ini.

Bagaimanapun tumpuan penyokong sudah semestinya kepada Nooa Laine kerana ini merupakan panggilan negara pertama beliau.

Pujian harus diberikan kepada beliau kerana sanggup datang awal untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaysia sekaligus memperlihatkan komitmen tinggi dan keterujaan beliau untuk menyarung jersi negara.

Dalam pada itu, kehadiran Nooa turut mendapat perhatian kedutaan Malaysia di Finland yang menyatakan keterujaan mereka untuk melihat pemain itu beraksi.

Tweet yang dikongsi oleh kedutaan Malaysia itu bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala antara Malaysia dan Finland.

Kini, kita berharap agar Nooa Laine dapat membuat debut pertamanya dengan sempurna dan memberikan persembahan terbaiknya dalam perlawanan persahabatan tersebut.

Ayuh, kita memberikan sokongan untuk beliau dan para pemain baharu yang membuat kali pertama mewakili Malaysia. Semoga berjaya!