Gol pertama berjaya ubah permainan berpihak kepada kami – Hong Wan
Pemain tengah muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Nathaniel Shio Hong Wan mengakui gol pertama yang hadir pada minit ke-55′ berjaya mengubah permainan untuk berpihak kepada mereka apabila mereka berjaya benam Selangor FC 4-0 malam tadi.
Menurut Hong Wan, pasukannya berjaya mendominasi pada separuh masa pertama tetapi gagal menggunakan peluang yang ada untuk menjaringkan gol awal.
“Separuh masa pertama kami mendominasi perlawanan dengan mencipta banyak peluang tapi kami gagal untuk ambil peluang untuk jaringkan gol.
Separuh masa kedua kami terus beri tekanan dan mendominasi perlawanan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama dan ia mengubah permainan untuk berpihak kepada kami,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pemain berusia 22 tahun itu merupakan antara pemain muda yang berjaya mempamerkan prestasi cukup konsisten dan sering menjadi pilihan ketua jurulatih Esteban Solari untuk kesebelasan utama.
“Saya gembira dapat bantu pasukan kerana saya akan buat apa sahaja untuk bantu pasukan dapat keputusan yang baik. Jika jurulatih gembira dengan prestasi saya, saya bersyukur dan akan terus beri aksi terbaik.”
Dalam pada itu, Hong Wan juga berkata beliau dan rakan sepasukannya akan terus memberikan aksi terbaik dalam saingan AFC Champions League (ACL) musim ini untuk mencipta kejayaan sekaligus memperbaiki pencapaian pada musim lalu yang mana mereka berjaya mara ke pusingan 16.
“Kami akan lakukan perkara yang sama lagi iaitu untuk cuba menghadapi satu perlawanan dan satu perlawanan untuk kami cuba terus menang.”