Minta maaf jika ada tak selesa kami pilih pemain kurang minit permainan, tetapi kami tahu keupayaan mereka – Kim Pan-gon

2,395

Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon mempertahankan tindakannya memanggil pemain-pemain yang kurang minit permainan untuk kem latihan pusat kali ini.

Menurutnya, beliau faham ada peminat yang mempertikaikan pemilihan beberapa pemain tetapi ia telah dibuat berdasarkan pemerhatian lanjut oleh barisan jurulatihnya serta komunikasi dengan pihak kelab.


“Saya minta maaf kepada para peminat yang tidak selesa dengan pemilihan kali ini tetapi bagi pemain yang kurang minit permainan kita sudah tahu keupayaan mereka dan mereka pernah buktikan ketika berlatih bersama kami sebelum ini.

Sila faham bahawa kita tidak mempunyai pilihan pemain yang besar, kami percaya mereka layak untuk berada dalam pasukan ini,”

katanya.

Katanya, pemain-pemain yang tidak mempunyai minit permainan yang banyak sudah menjalani latihan yang cukup bagus bersama kelab mereka.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa mereka yang tidak tersenarai pada panggilan kali ini bukan bermakna tidak cukup bagus, tetapi beliau juga mahu memberi peluang kepada muka-muka baharu untuk menilai mereka secara lebih dekat.

“Di sini kami jemput 27 pemain tetapi tidak bermakna mereka paling bagus dan yang di dalam senarai bersedia tidak bermakna mereka tidak cukup bagus.

Untuk lapan muka baharu ini kami mahu bantu mereka ketika sesi latihan untuk meneroka lagi potensi mereka, harap mereka mampu sesuaikan diri dengan cepat.”

Menurut Pan-gon beliau akan memberi peluang kepada semua pemain untuk menunjukkan kemampuan mereka pada perlawanan nanti.

Katanya, tidak kisah jika pemain itu dapat bermain lama atau sekejap, sekiranya dia menunjukkan prestasi yang baik, beliau dan barisan kejurulatihan lain akan terus memantaunya.