MFL sokong tindakan FAM gantung pengadil untuk jaga kualiti pengadilan

300

Baru-baru ini, terdapat isu yang membangkitkan perhatian ramai mengenai pengadil Liga Malaysia,  Zulkarnain Zakaria yang digantung tugas atas prestasi yang tidak memuaskan dalam perlawanan Sabah FC menentang Penang FC.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam telah memberikan pandangannya mengenai isu ini dengan berkata bahawa isu pengadil dalam bola sepak adalah satu isu yang seringkali menjadi tumpuan ramai dan selalu dijadikan highlight oleh komuniti bola sepak.


“Utamanya kita lihat di mana-mana liga bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia, isu pengadil ini tidak pernah lari.

Di mana-mana bila ada berlakunya kesilapan pengadil ia menjadi satu topik hangat atau highlight komuniti bola sepak”,

katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa pengadil tidak boleh berat sebelah dan tidak boleh memihak kepada mana-mana pasukan.

Walaubagaimanapun, beliau berkata kesilapan tidak akan lari daripada seorang pengadil kerana dia juga adalah manusia.

“Kasihan juga kerana kadang-kadang penyerang terlepas penalti atau open goal, mereka mendapat peluang kedua pada perlawanan seterusnya tetapi berbeza dengan pengadil, mereka tidak boleh melakukan kesilapan,”

Tambahnya, MFL sentiasa berunding dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memastikan mutu pengadilan perlawanan oleh pengadil yang dilantik oleh FAM dilakukan dengan kredibiliti dan kesempurnaan seperti yang diminta oleh peminat bola sepak Malaysia.

Beliau turut memberikan pandangannya mengenai tindakan yang diambil oleh Jawatankuasa Pengadil FAM untuk mengantung seorang pengadil daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023.

Menurut Stuart, tindakan proaktif ini adalah tindakan yang bagus dan sepatutnya dipuji oleh komuniti bola sepak.

Ini bagi memastikan kredibiliti pengadil yang dilantik oleh FAM terus terjaga dan pemahaman bola sepak mereka terhadap peraturan bola sepak semakin meningkat.

Jelasnya, MFL dan FAM bekerjasama untuk memastikan kualiti pengadil dalam perlawanan bola sepak di Malaysia meningkat dengan baik.

Stuart turut mengumumkan bahawa beliau akan menghadiri perjumpaan dengan pengadil FAM untuk membincangkan isu-isu pengadilan setakat ini.

Menjelang perlawanan perlawanan keenam Liga Super, beliau mahu memastikan mutu pengadilan semakin baik dan tiada keputusan yang boleh menjejaskan pasukan.

Oleh itu, beliau berkata bahawa semua pihak yang terlibat perlu bekerjasama untuk memastikan kualiti pengadil yang dilantik adalah terbaik bagi memastikan kredibiliti bola sepak di Malaysia terus terjaga.