Memang ada perbezaan skuad kali ini dan skuad Piala AFF 2022 – Syihan Hazmi

676

Penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi mengakui skuad kebangsaan kali ini mempunyai perbezaan daripada pasukan sebelum ini ketika Piala AFF 2022.

Walaubagaimanapun, beliau berkata semua pemain yang terpilih haruslah memberikan 100 peratus ketika menyarung jersi Harimau Malaya.


“Bagi saya perbezaan itu ada tetapi tak boleh nak cakap mana-mana pemain lebih atau apa, cuma yang mana dipanggil kali ini perlu berikan 100 peratus ketika perlawanan nanti.

Dalam dua perlawanan persahabatan akan datang baru kita nampak perbezaannya tetapi tak boleh nak beritahu lebih ketika ini kerana sedang dalam persiapan,”

katanya.

Mengenai posisi penjaga gol, beliau tidak merasakan posisi sebagai penjaga gol utama adalah miliknya kerana semua penjaga gol yang dipanggil bagus.

Katanya, semua penjaga gol yang lain membantu dirinya untuk meningkatkan tahap permainannya lagi.

“Seperti sebelum ini, saya tidak pernah meletakkan diri saya dalam keadaan yang selesa.

Semua penjaga gol yang terpilih adalah bagus, dan persaingan daripada mereka pastinya akan membuatkan saya bertambah baik dan memperbaiki segala kekurangan.”

Tambahnya, beliau berterima kasih kepada pihak kelab termasuk Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sertav rakan sepasukan dan jurulatih yang banyak membantunya untuk berada di tahap terbaik.

Beliau mahu membawa momentum prestasinya dalam saingan liga ke dalam pasukan kebangsaan.