Syahmi pergi kerana duit
Selangor FC telah mengesahkan bahawa tonggak pertahanannya, Syahmi Safari akan meninggalkan skuad The Red Giant’s musim hadapan.
Selangor menjelaskan setelah kedua-dua pihak berbincang dan mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak secara persetujuan bersama.
Sebelum itu, pihak pengurusan Selangor telah menetapkan klausa pelepasan sebanyak RM6 juta tetapi setelah perbincangan lanjut Syahmi bersetuju untuk membayar jumlah pampasan yang telah dipersetujui dua belah pihak.
Selangor juga ada memberitahu Syahmi menebus kontraknya yang masih berbaki dua tahun itu bagi membenarkannya beraksi bersama pasukan lain di Liga Malaysia.
Khabar angin kuat mengatakan Syahmi bakal menyarung jersi Melaka United susulan pihak pengurusan baru mendapat dana yang besar sebanyak RM20 juta.
Justeru, Melaka United mampu memberi tawaran yang menarik kepadanya untuk ditandatangani. Syahmi yang baru berusia 24 tahun sudah pasti tidak mahu menolak sebarang tawaran lumayan yang mampu memberinya kesenangan di kemudian hari.
Tambahan pula, ada segelintir penyokong mengatakan bahawa beliau seakan tidak mahu bermain bersama Selangor kerana aksinya kurang memberangsangkan semenjak dua tahun kebelakangan ini.
Syahmi yang mula beraksi di Selangor sejak tahun 2015 apabila bersama skuad presiden Selangor pada ketika itu.
Pada tahun 2017, Syahmi berjaya menembusi kesebelasan utama Selangor bermain selaku pertahanan kanan. Selain itu, beliau juga boleh beraksi sebagai pemain sayap menggunakan kepantasan yang dimilikinya.
Sepanjang tujuh tahun beraksi bersama Selangor, Syahmi berjaya melakukan 70 penampilan serta menjaringkan tujuh gol dan melakukan lima bantuan gol.
Peminat pasti tertanya-tanya kemana hala tuju pemain yang pernah menjadi hero Harimau Malaya suatu ketika dulu apabila berjaya menjaringkan satu gol cantik semasa menentang Thailand dalam saingan Piala AFF.