Hong Kong dalam misi mahu pintas FIFA ranking Malaysia
Pasukan bola sepak Hong Kong akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Malaysia pada 28 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.
Perlawanan ini boleh dikatakan penting buat Hong Kong kerana mereka dalam misi untuk mengumpul mata semaksimum mungkin untuk memperbaiki kedudukan FIFA ranking mereka.
Hong Kong juga sudah mengeluarkan senarai pemain pilihan ketua jurulatih Jorn Anderson yang akan dibawa untuk perlawanan menentang skuad Harimau Malaya nanti.
Bagaimanapun beberapa tonggak utama skuad tersebut tidak dapat turut serta dalam perlawanan menentang Malaysia nanti.
Mereka dijangka akan tiba di Malaysia dua hari sebelum perlawanan iaitu pada 26 Mac ini untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan cuaca di negara.
Selepas perlawanan persahabatan ini, pasukan Hong Kong telah membuat perancangan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa bersama pasukan bola sepak Thailand pada bulan Jun 2023, namun perlawanan itu masih belum diumumkan secara rasmi lagi.
Terdahulu, Anderson mengakui pasukannya yang berada di ranking ke-146 menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan lawan berkualiti; “Kedudukan ranking dunia kami hanya di tangga yang ke-146. Tidak banyak pasukan yang sanggup datang ke Hong Kong. Bagaimanapun, kami hampir mencapai persetujuan dengan Thailand, tetapi mereka mahu Hong Kong menjadi tetamu, jadi kami belum bertindak balas lagi.”
Selain Malaysia dan Thailand, Hong Kong turut berkemungkinan besar akan bertemu dengan pasukan seperti India, Tajikistan dan Indonesia tapi semuanya bergantung kepada FIFA ranking terbaru yang akan dikemas kini pada 11 Mei nanti.