Sukan SEA tahun ini adalah yang terbaik untuk kita dapat pingat emas – Azam Azmi
Pemain pertahanan pasukan kebangsaan B-22, Azam Azmi merasakan temasya Sukan SEA Kemboja pada tahun ini adalah masa yang terbaik untuk mereka memperoleh pingat emas selepas kali terakhir berjaya melakukannya pada tahun 2011.
“Bagi saya ini tahun terbaik untuk kami nak menang pingat emas di Sukan SEA. Ini tahun kedua saya bersama pasukan ini. Tahun lepas pun kami berjaya layak ke separuh akhir.
Jadi tahun ini saya dan rakan sepasukan sasar untuk menjadi juara Sukan SEA,”
katanya.
Azam merupakan salah seorang daripada 26 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih skuad B-22, E. Elavarasan untuk menyertai kem latihan pusat bagi menghadapi kejohanan Piala Merlion 2023 Singapura.
Skuad Harimau Muda akan memulakan saingan menentang Kemboja B-22 pada 24 Mac ini dan jika menang mereka akan layak ke perlawanan akhir menentang samada pasukan Singapura B-22 atau pun Hong Kong B-22.
Dalam pada itu, pemain Terengganu FC itu juga mengakui tiada perbezaan dari segi taktikal dan corak permainan di bawah kendalian Elavarasan atau pun di bawah kendalian Kim Pan-gon.
“Bagi saya sama sahaja sebab skuad utama dan skuad B-22 taktikal sama sahaja kerana Coach Elavarasan juga dari barisan kejurulatihan skuad utama jadi dari segi taktikal dan latihan sama sahaja.”
Sementara itu, Azam tidak melihat beliau tersenarai dalam pasukan B-22 sebagai ‘turun pangkat’ walaupun beliau sebelum ini pernah beraksi dengan cukup baik ketika bersama skuad utama sebelum ini.
“Bagi saya, senior atau B-22 saya tidak kisah kerana mana-mana skuad yang panggil pasti saya akan pergi. Dua-dua skuad adalah tanggungjawab saya.”