Aiman Afif tiada masalah untuk bermain di posisi tengah untuk skuad B-22 negara

254

Pemain pasukan kebangsaan B-22, Aiman Afif tidak melihat perubahan posisi dari penyerang menjadi masalah buat dirinya.

Ini kerana beliau yang bermain bersama Kedah Darul Aman FC bermain sebagai penyerang, namun kini di bawah ketua jurulatih B-22, E. Elavarasan, beliau telah ditugaskan untuk bermain di posisi tengah.


“Sebenarnya posisi asal saya bermain di tengah, tapi ketika di bawah kendalian Brad Maloney (bekas ketua jurulatih B-23) saya diletakkan di posisi penyerang, jadi di situ saya banyak improve sebagai pemain penyerang.

Tapi saya memang boleh bermain di posisi tengah. Di bawah Coach Ela saya banyak bermain di posisi tengah, jadi saya boleh bermain dalam dua atau tiga posisi,”

katanya.

Tambahnya lagi, berpeluang untuk bermain lebih dari satu posisi akan memberikan kelebihan buat dirinya.

Aiman merupakan salah seorang pemain yang akan terbang ke Singapura esok untuk menghadapi kejohanan Piala Merlion 2023 yang akan menyaksikan mereka mengharungi dua perlawanan.

Harimau Muda akan memulakan kempen menentang pasukan Kemboja B-22 pada 24 Mac ini sebelum menentang pasukan Singapura B-22 atau Hong Kong B-22.

Dalam pada itu, beliau mengakui pasukan sedikit terkesan dengan ketiadaan tonggak utama Mukhairi Ajmal yang tidak dapat bersama pasukan berikutan mengalami masalah jangkitan perut, namun beliau dan rakan sepasukan lain akan tetap memberikan aksi terbaik untuk dapat keputusan positif.

“Memang tanpa Mukhairi Ajmal kita rasa terkesan juga, tapi bagi kami pemain yang ada di sini akan cuba bagi terbaik dan cuba untuk menang Piala Merlion nanti.”

Skuad Harimau Muda akan berlepas ke Singapura esok (23 Mac).