Walaupun sedang mengecapi kejayaan di Thai League 1, Safawi Rasid mungkin berpeluang kembali perkuat JDT satu hari nanti

184

Nama yang tidak asing lagi di kalangan peminat bola sepak Malaysia, Safawi Rasid merupakan pemain yang terkenal dalam dunia bola sepak Malaysia dan menjadi kegemaran ramai pemain-pemain muda.

Bagaimanapun selepas mengharungi beberapa musim cemerlang termasuk menjadi Pemain Paling Bernilai (MVP) sebanyak tiga kali berturut-turut, prestasinya seakan-akan merosot sehingga beliau tidak lagi menjadi pilihan dalam kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim (JDT).


Mahu kembali bangkit, Safawi telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke kelab negara jiran Ratchaburi FC secara pinjaman yang beraksi di Thai League 1 dengan misi untuk mendapatkan minit permainan selain menimba pengalaman bermain di liga kompetitif.

Sejak menyarung jersi pasukan baru, Safawi tidak menunggu lama memberi impak kepada pasukannya apabila beliau mempamerkan aksi cukup cemerlang dan telah pun menjaringkan gol pertamanya di Thai League 1.

Pencapaian cemerlangnya di Thailand membuktikan bahawa Safawi masih lagi pemain yang berkualiti dan perlu diberi perhatian.

Walaupun nama beliau tidak tersenarai dalam skuad Harimau Malaya untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong, namun ramai percaya bahawa ketua jurulatih Kim Pan-gon masih memerlukan khidmatnya apabila skuad negara akan menghadapi kejohanan Piala Asia 2023.

Disebalik kejayaan yang sedang dikecapinya di Thai League 1 ketika ini, beliau tidak pernah lupa dengan pesanan ‘bos-nya’ di JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris.

Mungkin penghijrahan beliau ke Ratchaburi adalah cadangan daripada TMJ sendiri yang mahu melihat pemain itu kembali ke prestasi sebenar.

Jika benar, maka tidak mustahil untuk melihat Safawi kembali menyarung jersi Harimau Selatan selepas tempoh pinjamannya di sana berakhir.