Skuad Harimau Muda ketika ini mampu jadi juara Piala Merlion – Muslihuddin Atiq

258

Pemain kebangsaan B-22, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid mengakui peluang untuk pasukannya menjuarai kejohanan Piala Merlion 2023 sangat cerah berdasarkan keadaan skuad ketika ini.

Menurut Atiq, sejak skuad Harimau Muda dikendalikan oleh ketua jurulatih E. Elavarasan, banyak perubahan positif yang berlaku.


“Bagi saya kita mampu jadi juara Piala Merlion kerana skuad yang ada ketika ini adalah yang terbaik.

Sejak coach Elavarasan ambil alih pasukan, banyak pertambahan pemain berkualiti sekaligus membuatkan skuad kali ini lebih mantap,”

katanya.

Atiq yang sebelum ini pernah bermain di bawah ketua jurulatih terdahulu iaitu Brad Maloney mengakui terdapat perbezaan dari segi taktikal apabila kini bermain di bawah Elavarasan.

Dalam pada itu, Atiq juga menyuarakan keyakinannya beliau mampu mendapat tempat dalam skuad Harimau Muda yang akan menyertai temasya Sukan SEA Kemboja pada bulan Mei depan.

“InsyaAllah dengan apa yang saya ada saya akan bantu pasukan. Saya juga yakin kita mampu menamatkan kemarau pingat emas nanti.”

Beliau pada masa sama turut berkata dirinya kini sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan lutut yang dialaminya sebelum ini.

Skuad negara akan bertemu dengan pasukan Kemboja B-22 pada 24 Mac ini sebelum mengharungi satu lagi perlawanan samada menentang Singapura B-22 atau pun Hong Kong B-22.