Adama Traore akui lebih ‘fit’ apabila di bulan Ramadhan
Umat Islam di seluruh dunia ketika ini menyambut kedatangan bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan yang mana kesemua orang beragama Islam diwajib untuk menjalani ibadah berpuasa selama sebulan.
Tidak kira usia, pangkat atau pun pekerjaan, semuanya diwajibkan untuk berpuasa termasuk pemain bola sepak profesional.
Ketika ada segelintir yang merasakan prestasi seseorang atlet sukan akan menurun dan merosot ketika bulan Ramadhan dek tidak boleh makan dan minum untuk satu tempoh yang panjang, tapi berbeza pula buat pemain penyerang Wolverhampton Wanderers FC iaitu Adama Traore.
Menurut Traore dalam satu temubual bersama Sky Sports, prestasinya ketika di bulan Ramadhan lebih mantap dan cergas.
“Ia satu perasaan yang aneh. Saya masih ingat ketika saya berada dalam keadaan paling ‘fit’ ketika pra-musim di mana ketika itu bulan Ramadhan.”
Beliau berkata berpuasa membuatnya lebih fokus ketika di atas padang sekaligus dapat mempamerkan aksi terbaiknya untuk bantu pasukan.
Dalam pada itu, Traore juga berkata turut mendapatkan khidmat nasihat daripada ahli nutrisi yang akan memberi panduan mengenai makanan yang akan memberinya tenaga untuk sepanjang hari.
Traore merupakan salah seorang daripada ramai lagi pemain bola sepak beragama Islam yang beraksi di English Premier League (EPL).
Pemain lain termasuk Mo Salah (Liverpool), Hakim Ziyech (Chelsea), N’Golo Kante (Chelsea) dan beberapa lagi.
Memandangkan perlawanan EPL berlangsung ketika waktu petang ketika waktu berbuka puasa, pihak EPL telah mengambil keputusan untuk membenarkan pengadil untuk menghentikan perlawanan seketika bagi membolehkan pemain-pemain beragama Islam untuk membuka puasa terlebih dahulu sebelum perlawanan kembali disambung.
Tindakan ini mendapat perhatian dunia dan jutaan penyokong bola sepak yang melihat tindakan ini sebagai satu tindakan yang tepat dalam menghormati pemain beragama Islam.
Sementara itu, di Malaysia saingan Liga Super tetap berjalan sepanjang bulan Ramadhan tetapi waktu sepak mula dilewatkan kepada pukul 10.00 malam bagi memberi ruang kepada pemain berbuka puasa terlebih dahulu.