Gementar potong rambut pemain JDT, tapi mereka ramai yang ‘sporting’ – Arif Rahimi Saifulizam

741

Di luar negara, pemain bola kebiasaannya mempunyai tukang gunting rambut kegemaran untuk memastikan rambut mereka sentiasa rapi.

Bagi seorang tukang gunting rambut yang bertapak di Johor Bahru, Arif Rahimi Saifulizam, dia menjadi pilihan sebilangan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT).


Dia yang bekerja di Firebarber berkongsi pengalamannya pernah memotong rambut beberapa pemain serta bekas pemain ternama JDT seperti Bergson, Jordi Amat, Guilherme de Paula, Moussa Sidibe, Gonzalo Cabrera, Carli De Murga, dan lain-lain.

Katanya, pelanggan pertamanya dari kelab itu merupakan Syafiq Ahmad, yang kemudiannya menyarankan khidmatnya kepada pemain-pemain lain.

Sejak daripada itu, semakin ramai pemain dari JDT yang mempercayai khidmatnya, juga individu daripada pihak pengurusan JDT seperti Pengarah Sukan JDT, Martin Prest.

Dia yang juga merupakan seorang anggota bomba berkata, antara pengalaman manis sepanjang memotong rambut pemain JDT adalah menerima cenderahati daripada mereka.

“Antara ramai-ramai pemain yang saya pernah potong rambut mereka, paling saya sayang adalah Moussa Sidibe dan Gonzalo Cabrera. Saya ingat lagi sebelum Moussa Sidibe berpindah beliau berikan saya sepasang but baru dalam kotak lagi, jersi JDT dan juga cenderahati JDT.

De Paula pula beliau memang sporting, Bahasa Melayunya juga memang jelas, dia memang boleh berbahasa Melayu sedikit kerana sudah berada di sini lama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain itu, dia juga mengakui gementar apabila mahu memotong rambut pemain-pemain tersebut kerana risau mereka tidak gemar akan hasilnya.

Katanya, sebelum memotong rambut seseorang pemain, dia akan ‘belajar’ terlebih dahulu gaya rambut pemain berkenaan melalui media sosial.

“Masa nak potong rambut mereka saya akan rasa gementar, takut juga jika mereka tak berkenan dengan cara saya, tetapi setakat ini tiada masalah.

Kebiasaannya saya akan lihat Instagram pemain berkenaan dahulu apabila mereka panggil saya untuk potong rambut, jadi saya tahu serba sedikit gaya yang digemari mereka.”

Menurut Rahimi, dia mempunyai impian untuk mewujudkan akademi gunting rambut satu hari nanti untuk berkongsi ilmu kepada mereka yang berminat mempelajari cara menggunting rambut.

Dia juga mahu mengukuhkan lagi jenama Firebarber supaya lebih dikenali pada masa hadapan.