Tanpa TMJ takkan ada petinju Malaysia menang sembilan kejuaraan Asia, pegang rekod 12 perlawanan tanpa kalah – Farkhan Haron

2,163

Sukan tinju adalah sukan yang tidak begitu popular di Malaysia, dan hanya beberapa individu sahaja yang berjaya melangkah ke peringkat profesional.

Bagi Farkhan Haron, beliau terhutang budi kepada seorang individu istimewa yang membantu beliau untuk menjadi petinju profesional pertama dari Malaysia.


Individu yang dimaksudkan adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberi sokongan dan dorongan terutama dari segi kewangan sehingga beliau berjaya pada hari ini.

Menurutnya, karier profesional beliau bermula pada September 2014 setelah TMJ bersetuju untuk menaja dirinya bergelar petinju profesional.

“Individu pertama yang memberi dorongan untuk saya terlibat secara profesional dalam sukan tinju adalah TMJ pada 2010 tetapi ketika itu saya kata bahawa saya masih belum bersedia, kerana saya masif fikirkan komitmen kepada negara di Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Jika saya mula menjadi profesional, saya tidak boleh patah balik untuk menyertai Sukan SEA dan sebagainya kerana itu peraturannya, ketika itu saya masih sayangkan karier amateur saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata, hasrat untuk menjadi petinju profesional mula timbul pada tahun 2014, dan beliau sedar dirinya memerlukan penaja kerana perbelanjaan yang tinggi.

Menurut Farkhan, beliau cuba mendapatkan penajaan dari lebih 30 syarikat tetapi tiada satu pun yang berminat untuk menajanya menjadi petinju profesional pertama negara.

“Ketika saya mula berputus asa, saya teringat TMJ pernah mendorong saya untuk menjadi profesional pada 2010 dan saya buat temujanji untuk bertemu baginda untuk meluahkan hasrat bergelar profesional, saya ingat lagi saya bawa kertas kerja yang tebal ketika berjumpa baginda.

Memang saya berdebar ketika itu, tetapi baginda hanya lihat dua tiga muka surat sahaja, kemudian terus bersetuju untuk menaja saya.”

Farkhan berkata, selepas seminggu, beliau menerima panggilan daripada pegawai khas TMJ yang meminta nombor akaunnya.

Beliau ketika itu seakan-akan tidak percaya apabila mendapat penajaan daripada TMJ sehinggalah tahun ini.

“Alhamdulillah dari September 2014 hinggalah 2023, dah sembilan tahun TMJ taja dan beri sokongan kepada saya, tanpa baginda saya takkan berada di sini.

Takkan ada satu-satunya rakyat Malaysia yang memegang rekod 12 kemenangan tanpa kalah, dan satu-satunya rakyat Malaysia yang memenangi sembilan tali pinggang kejuaraan Asia dan satu tali pinggang kejuaraan antara benua.”

Beliau amat berterima kasih kepada TMJ yang sentiasa bersamanya ketika beliau menghadapi kesukaran dan membantu membina karier profesional beliau dalam sukan tinju.