Minit permainan memang penting tetapi saya tiada masalah untuk beri persembahan yang baik – Shahrul Saad
Pertahanan kebangsaan, Shahrul Saad menganggap kekurangan minit permainan pada permulaan liga musim ini tidak memberi masalah buatnya untuk memberikan yang terbaik jika diturunkan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon.
Katanya, intensiti tinggi yang diterapkan dalam sesi latihan kebangsaan membantunya kekal berada dalam keadaan terbaik.
“Betul minit permainan penting untuk semua pemain tetapi itu bukan satu alasan untuk pemain macam saya yang tak banyak main untuk permulaan liga musim ini.
Di sini, pemain sudah menjalani latihan berintensiti tinggi lebih kurang 10 hari, jadi saya rasa itu tidak menjadi masalah besar untuk semua pemain tunjukkan prestasi yang baik apabila diturunkan,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media menjelang perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim esok.
Sementara itu, beliau menganggap kem kebangsaan kali ini adalah yang terbaik dan mempunyai banyak saingan daripada pemain-pemain yang bagus.
“Bagi saya ini adalah kem kebangsaan yang terbaik, di bahagian pertahanan terutamanya memang banyak saingan dengan ramai pemain berpengalaman dan berada di prestasi yang terbaik sekarang.
Menentang Hong Kong esok kita perlu terus tingkatkan prestasi dan penting untuk dapatkan kemenangan, sesiapa yang diberi tugasan untuk turun harus melakukan yang terbaik.”
Menurut Shahrul, persaingan yang sihat itu membuatkan beliau sentiasa menekan diri untuk menjadi pemain yang lebih baik.
Sementara itu, beliau mengakui mudah untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan Kim Pan-gon kerana jurulatih itu jelas mengenai apa yang dimahukan.
Tambahnya, dalam bola sepak moden ini, beliau bukan sahaja perlu fokus kepada pertahanan tetapi juga bermain daripada bawah.