Malaysia ada ‘winger’ yang laju dan penuh skil, tetapi saya tak takut – Tsui Wang Kit
Pertahanan kanan Hong Kong, Tsui Wang Kit tidak gentar untuk berhadapan dengan pemain sayap Malaysia dan sudah bersedia untuk memberikan cabaran hebat apabila kedua-dua pasukan bertemu esok.
Beliau mengakui Malaysia mempunyai pemain sayap yang laju dan penuh dengan skil tetapi beliau akan memberikan yang terbaik apabila berdepan mereka esok.
“Saya tahu pemain sayap Malaysia laju dan mempunyai skil yang baik tetapi saya akan buat yang terbaik esok.
Barisan pertahanan kami kuat, saya tak takut dengan mereka, saya juga perlu lebih agresif bukan saja ketika bertahan tetapi juga menyerang,”
katanya.
Menurutnya, beliau tidak terlalu memikirkan kekalahan kepada Malaysia tahun lalu dan hanya mahu fokus kepada perlawanan esok.
Beliau bertekad mahu memberikan masalah kepada pemain Malaysia dan mahu mencatatkan kemenangan kali ini.
“Kali terakhir bertemu Malaysia kami kalah 2-0 tetapi saya tak mahu fikir tentang perlawanan itu, ia sudah lepas.
Esok kami akan berikan yang terbaik untuk catatkan kemenangan dan berikan mereka masalah.”
Malaysia akan menentang Hong Kong dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim pada pukul 10 malam esok.