Jurulatih pilih berdasarkan prestasi bukan lihat pada status naturalisasi atau tempatan – Vas Nunez
Pemain kebangsaan Hong Kong, Vasudeva Das Lilley Nunez tidak melihat wujudnya ‘pilih kasih’ dalam pemilihan pemain oleh ketua jurulatih Jorn Anderson yang kini cenderung untuk merekrut lebih banyak pemain naturalisasi.
Menurut Vas Nunez, tidak timbul isu pemain tempatan dipinggirkan kerana ketua jurulatih pilih pemain berdasarkan prestasi.
“Saya fikir ketua jurulatih pilih pemain yang berada pada tahap terbaik di saingan liga, jadi saya rasa tidak timbul isu favoritism terhadap pemain naturalisasi berbanding pemain tempatan, sebaliknya ia berdasarkan prestasi pemain itu,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Vas Nunez merupakan pemain kelahiran Hong Kong yang mana bapanya berasal dari Britain dan ibunya dari Mexico.
Hong Kong kini berada di Johor Bahru, Malaysia untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Malaysia pada 28 Mac.
Dalam pada itu, beliau mengakui perlawanan menentang skuad Harimau Malaya esok adalah perlawanan yang sukar kerana pasukan lawan berada dalam prestasi terbaik ketika ini.
Beliau bagaimanapun berkata pihak lawan juga perlu menghormati pasukannya kerana mereka juga mempunyai skuad yang bagus.
“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar kerana Malaysia adalah sebuah pasukan yang kuat jadi kita perlu hormati mereka. Tapi mereka juga perlu hormati kita juga kerana kita sudah berlatih dengan keras dan saya rasa esok kami mempunyai peluang.”
Beliau juga mengakui kehadiran pemain muda Michael Udebuluzor yang bermain di Jerman bersama kelab FC Ingolstadt 04 B-19 mampu memberi nilai tambah pada pasukan.
Pada masa sama beliau juga kehadiran dua pemain naturalisasi Everton Camargo dan Stefan Figueiredo Pareira akan membantu pasukan dengan pengalaman mereka.
“Sudah pastinya mereka akan dapat bantu dengan pengalaman mereka. Saya juga pernah melihat dan pernah bermain dengan mereka di liga sebelum ini dan kedua-dua mereka adalah pemain berkualiti, jadi pastinya mereka akan bantu.”