Corbin Ong akui keadaan padang di SSI bantu Harimau Malaya bermain dengan baik

1,226

Pemain pertahanan negara, Corbin Ong mengakui keadaan padang yang berkualiti telah membantu pasukan kebangsaan untuk mempamerkan aksi permainan yang baik.

Pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 kedua menentang Hong Kong malam tadi, skuad Harimau Malaya berjaya membenam pasukan Hong Kong 2-0 hasil jaringan Akhyar Rashid dan Faisal Halim.


“Keadaan padang di sini membolehkan kami bermain dengan lebih baik kerana apabila kita pergi ke Qatar nanti (Piala Asia 2023), ia tidak akan sama seperti padang jenis rumput lembu sebaliknya ia akan sama seperti padang Stadium Sultan Ibrahim (SSI),”

katanya.

Corbin turut berpuas hati dengan prestasi pasukan selepas berjaya menang dalam kedua-dua perlawanan persahabatan menewaskan Turkmenistan 1-0 pada 23 Mac dan 2-0 menentang Hong Kong malam tadi.

“Kami sangat berpuas hati dengan kedua-dua perlawanan. Kami datang dengan game plan dan kami berjaya melaksanakannya.

Pemain yang dibawa telah berjaya membantu pasukan, tidak kira pemain naturalisasi atau tidak kami adalah pasukan kebangsaan Malaysia, jadi kami gembira mempunyai sebuah pasukan yang kuat ketika ini.”

Dalam pada itu, Corbin juga memberitahu bahawa pasukan telah memperlihatkan peningkatan yang baik dari semasa ke semasa.

Tambahnya lagi, peningkatan prestasi pasukan kebangsaan dapat dilihat sejak tahun lalu apabila mereka berjaya panjat hampir 20 anak tangga dalam FIFA ranking.

Sementara itu, beliau juga tidak merasakan kejayaan untuk mengekalkan rekod bersih tanpa bolos dalam kedua-dua perlawanan adalah hasil kerja barisan pertahanan sahaja, sebaliknya ia adalah hasil kerja satu pasukan.

“Ia bukan barisan pertahanan sahaja tetapi satu pasukan yang bermain sebagai satu unit termasuk pemain sayap, pemain tengah dan juga penyerang yang berjaya memastikan kita tidak bolos.”