Mukhairi Ajmal dan Luqman Hakim mampu perkuat Harimau Muda di Sukan SEA – Ong Kim Swee
Bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee melihat kehadiran dua pemain iaitu Mukhairi Ajmal dan Luqman Hakim mampu memperkuatkan pasukan pada temasya Sukan SEA Kemboja nanti.
“Ingat kita masih lagi dapatkan sumbangan daripada Mukhairi Ajmal yang masih boleh main dan mereka ini adalah tonggak-tonggak utama termasuk Luqman Hakim, dimana ini akan memberi banyak keyakinan dan pengalaman pemain ini bersama pemain-pemain baru.
Jadi mereka ini adalah tonggak utama kita, kalau kita tidak dapat bawa pemain-pemain ini ke Sukan SEA saya percaya ia akan menggugat kekuatan pasukan kita,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Skuad Harimau Muda di bawah kendalian E. Elavarasan yang menyertai kejohanan Piala Merlion 2023 baru-baru ini menyaksikan Mukhairi terpaksa digugurkan berikutan mengalami masalah jangkitan perut.
Dalam kejohanan yang berlangsung di Singapura, skuad negara telah berjaya menewaskan Kemboja B-22 4-2 dan menewaskan Hong Kong B-22 2-1 untuk menjulang Piala Merlion buat pertama kali selepas hampir 40 tahun.
Kim Swee berkata kejayaan menjulang Piala Merlion bukan gambaran sebenar skuad B-22 negara kerana mereka perlu membuat persiapan lebih rapi lagi sebelum menyertai temasya Sukan SEA di Kemboja pada bulan Mei ini.
“Ini bukan gambaran sebenar pasukan B-22 kerana yang penting mereka perlu lakukan persiapan lebih rapi lagi.
Apabila mereka ke Sukan SEA nanti, mereka bukan sahaja akan menentang pasukan Hong Kong atau Kemboja sahaja kerana kita perlu tahu pasukan Vietnam, Thailand, Indonesia mahu pun Kemboja yang akan bermain sebagai tuan rumah.
Saya telah katakan banyak kali ketika sukan SEA berakhir, kita tak boleh pandang rendah pasukan seperti Kemboja dan Laos kerana mereka dalam perancangan di mana jika kita tidak menjarakkan diri dengan mereka, pasti satu hari nanti mereka akan jadi pencabar utama negara.”
Dalam pada itu, ketua jurulatih Sabah FC itu juga menyuarakan keyakinannya terhadap pengendali E. Elavarasan yang dilihat mampu melakukan perancangan terbaik buat skuad B-22 negara di Sukan SEA nanti.
“Saya rasa Ela telah mempunyai pengalaman terutamanya sebagai jurulatih di liga kita yang begitu lama termasuk bersama Kim Pan-gon (ketua jurulatih Harimau Malaya) selama lebih setahun. Ini tentu memberi Ela banyak peluang untuk melihat dan melakukan apa yang terbaik apabila mengendalikan skuad B-22.”