Apa sahaja keputusan Jumaat ini ia tidak akan menentukan siapa akan jadi juara Liga Super – Ong Kim Swee

875

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak melihat keputusan perlawanan di antara pasukannya menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat (31 Mac) ini akan menjadi penentu juara Liga Super pada musim ini.

Menurut Kim Swee, saingan liga baru sahaja akan memasuki perlawanan keenam jadi apa sahaja boleh berlaku kerana saingan liga masih panjang.


“Saya percaya apa pun berlaku dalam keputusan pada hari Jumaat nanti tidak akan menentu siapa akan jadi juara liga kerana  saingan baru memasuki awal musim.

Kita juga tidak boleh lupa pasukan-pasukan lain juga. Pasti mereka akan menambah baik pasukan mereka apabila jendela perpindahan kedua nanti. Kita dapat lihat Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC pasti akan memperbaiki pasukan mereka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan segelintir pihak yang berkata JDT pastinya akan menjadi juara Liga Super 2023 sekiranya berjaya menewaskan Sabah berikutan pasukan itu adalah pencabar utama kejuaraan pada musim ini.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu bahawa persiapan pasukannya menjelang perlawanan pada Jumaat ini berjalan seperti biasa walaupun tanpa kelibat lima tonggak utama iaitu Darren Lok, Daniel Ting, Stuart Wilkin, Damien Lim dan Dominic Tan yang bersama pasukan kebangsaan untuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini.

Pada masa sama beliau tidak melihat beberapa tonggak utamanya bermain untuk Harimau Malaya akan merencatkan momentum mereka kerana perkara sama berlaku di seluruh dunia.

“Saya percaya bukan pasukan Sabah saja, kalau kita lihat para pemain yang terlibat dengan pasukan kebangsaan terutama JDT termasuk lima pemain Sabah bersama pasukan kebangsaan sudah tentu bukan merencatkan persiapan tetapi bagi saya ia satu lumrah dan berlaku di seluruh dunia.

Namun para pemain sedia ada bersama pasukan Sabah tanpa pemain kebangsaan menjalankan latihan seperti biasa dan pada masa sama kita harus bersiap sedia jika berlaku apa-apa masalah dengan pemain kebangsaan selepas kalendar FIFA ini sudah tentu para pemain yang berada di Sabah harus bersiap sedia untuk perlawanan penting Jumaat nanti.”

Kim Swee pada masa sama turut mendedahkan bahawa dua pemainnya iaitu Telmo Castanheira dan Gary Steven Robbart mengalami kecederaan yang serius termasuk Saddil Ramdani yang masih belum turun menjalani latihan bersama pasukan.

Sabah kini berada pada kedudukan kedua liga di belakang JDT dengan perbezaan dua mata sahaja selepas lima perlawanan yang menyaksikan mereka berjaya menang dalam empat perlawanan dan seri satu perlawanan.

Perlawanan di antara Sabah dan JDT akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada pukul 10.00 malam.