Tak sukar untuk saya bersaing untuk dapat tempat dalam skuad Harimau Muda – Haqimi Azim
Pemain kebangsaan skuad B-23 negara, Haqimi Azim tidak melihat kehadiran beberapa muka baru dalam skuad termasuk Fergus Tierney akan menyukarkan dirinya untuk mendapat tempat dalam skuad ke Sukan SEA Kemboja pada Mei nanti.
“Persaingan tu bagi saya adil la juga tapi saya boleh bermain di banyak posisi menyerang dan benda itu tak susah dan insyaAllah saya boleh fight,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Haqimi merupakan antara salah seorang pemain skuad Harimau Muda yang berjaya mencipta sejarah baru-baru ini apabila menjulang Piala Merlion 2023 selepas menewaskan pasukan Hong Kong 2-1 dalam perlawanan akhir.
Dalam pada itu, beliau yang pernah bermain untuk skuad utama Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon mengakui tiada perbezaan langsung apabila di bawah kendalian E. Elavarasan.
Menurut Haqimi, kedua-dua pasukan pengendali itu mempunyai falsafah dan taktikal yang sama.
“Dari segi taktikal dan corak permainan memang sama kerana kedua-dua mereka guna taktikal guna, cuma untuk pemain pula mereka perlu cepat untuk menyesuaikan diri dengan taktikal dan corak permainan yang diterapkan kedua-dua ketua jurulatih ini.”
Sementara itu, penyerang berusia 20 tahun itu juga memberitahu beliau berada dalam keadaan terbaik dan tiada kecederaan selepas pulang dari Singapura dan sudah bersedia untuk kembali turun bersama pasukannya KL City FC.
KL City akan mengharungi perlawanan penting esok (Jumaat) iaitu Lembah Klang derby menentang Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
“Semuanya okey, tiada kecederaan dan saya bersedia untuk menentang Selangor esok.”