Peru tarik diri anjur Piala Dunia B-17, adakah Erick Thohir akan tawar Indonesia jadi pengganti?
Selepas sahaja pasukan Indonesia berhadapan penarikan semula hak penganjuran Piala Dunia B-20 baru-baru ini, Presiden PSSI Erick Thohir terus mengambil tindakan untuk pergi ke Eropah bagi berjumpa wakil FIFA bagi membincangkan perkara itu.
Presiden PSSI itu dilihat sangat serius mahu memastikan tiada apa-apa tindakan selanjutnya akan diambil oleh FIFA terhadap pasukan kebangsaan Indonesia selepas apa yang telah terjadi.
Beliau juga berharap pertemuannya dengan FIFA akan membawa pulang berita yang positif dan mencapai kata sepakat yang baik selepas insiden yang berlaku.
Hal ini kerana beliau mahu melihat skuad Garuda itu terus mencipta sejarah di peringkat yang tertinggi seperti misinya yang telah dirancang iaitu ‘Garuda Mendunia’.
Usaha ini turut disokong oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang mengarahkan Erick Thohir untuk terus berbincang dengan FIFA supaya Indonesia tidak menerima sekatan berat daripada FIFA.
Misi ‘Garuda Mendunia’ mungkin dapat direalisasikan setelah penganjuran Piala Dunia B-17 2023 di Peru juga telah ditarik balik oleh FIFA dan ia menimbulkan persoalan adakah kejohanan tersebut dapat dipindahkan ke Indonesia.
Ia dilihat sebagai satu peluang buat Indonesia mengambil kesempatan dengan beberapa faktor yang menjadikan mereka layak untuk menganjurkan kejohanan itu.
Kemudahan tempat perlawanan dan tempat latihan di Indonesia telah disediakan dengan baik dan mencukupi untuk menggantikan Peru yang sebelum ini mempunyai masalah dari segi kemudahan yang diperlukan.
Indonesia telah menyediakan enam stadium untuk Piala Dunia B-20 2023 dan walaupun telah dibatalkan, proses penambahbaikan masih tetap diteruskan.
Selain tarikh Piala Dunia B-17 2023 juga adalah pada hujung tahun dari 10 November hingga 2 Disember 2023 dan ini bermakna masih ada masa yang cukup untuk Indonesia membuat persediaan sekiranya membida menjadi tuan rumah Piala Dunia B-17 2023.
Tambahan lagi, kejohanan tersebut tidak akan disertai oleh pasukan kebangsaan Israel yang menjadi punca kegagalan Indonesia menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20, dan ia memberi peluang kepada Indonesia untuk mengajurkan kejohanan tersebut.
Jika Indonesia boleh mengambil hak menjadi tuan rumah Piala Dunia B-17, sudah tentu ini sekurang-kurangnya dapat mengubati kekecewaan peminat bola sepak Indonesia selepas dibatalkan menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20.