Laporan ‘post-mortem’ pun tiada, ‘fans’ tuntut bukti cadangan FIFA
Ketika dunia bola sepak tanah air sedang kecoh dengan perletakan jawatan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih Malaysia, timbul pula isu baru iaitu cadangan saingan Liga Malaysia dijalankan secara tiga pusingan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar yang berkata cadangan itu diusulkan oleh FIFA itu kerana mendapati pemain tempatan kekurangan perlawanan kompetitif dalam saingan domestik, oleh itu mencadangkan agar Liga Super dan Liga Premier dijalan secara tiga pusingan.
Bagaimanapun peminat bola sepak tempatan mula mempersoalkan kesahihannya dan menuntut bukti yang dapat mengesahkan cadangan yang diusulkan oleh FIFA itu.
Ramai yang berpendapat isu yang diketengahkan Saifuddin Abu Bakar ini seperti mahu mengalih perhatian peminat daripada isu perletakan Cheng Hoe dan juga laporan ‘post-mortem’ kegagalan pasukan Harimau Malaya di saingan Piala AFF 2020 baru-baru ini.
Terdahulu laporan ‘post-mortem’ kegagalan pasukan kebangsaan dilaporkan akan dibentang pada Isnin lalu iaitu pada 3 Januari, sebaliknya perkara lain yang berlaku apabila Cheng Hoe meletak jawatan.
Keputusan Cheng Hoe nyata mengejutkan ramai kerana laporan ‘post-mortem’ belum dibentang tetapi beliau sudah meletak jawatan.
Oleh itu, peminat kini mula tertanya-tanya samada laporan ‘post-mortem’ FAM akan dibentangkan atau akan ‘terkubur’ begitu sahaja.
“Bedah siasat apa cerita?? Orang-orang atas tu bila nak letak jawatan. Gentleman sikit macam ketua jurulatih. Undur jika rasa KPI tak tercapai,”
tulis seorang peminat Amirul Choding.
Pada masa sama peminat turut mempersoalkan kenapa Cheng Hoe seorang sahaja perlu bertanggungjawab dan bukannya pihak pengurusan tertinggi FAM sekali.
Malah ketika ini peminat-peminat tempatan membanjiri ruangan komen di media sosial rasmi FAM dengan memberi kecaman teruk termasuk mendesak Presiden FAM meletak jawatan.
Selain mendesak presiden letak jawatan, peminat juga mahu rombakan besar-besaran dilakukan dalam FAM demi kemajuan bola sepak tanah air.
“Orang-orang FAM bila nak letak jawatan tu Presiden tu terutama sekali dah gagal kan, jadi tunggu apa lagi? Tan Cheng Hoe pula yang tak pasal-pasal angkat kaki padahal masalah timbul dari pihak pengurusan FAM ooopss! Lupa kalau dengan Vietnam pun FAM taka da perasaan segan inikan pula dengan penyokong bola sepak tanah air kan?,”
tulis Shariff Addin Al-Adl.
Peminat juga kini mula memulakan kempen hastag di media sosial sebagai tanda protes dan mendesak perubahan dilakukan dengan segera.
Dengan FAM kini diserang dari setiap penjuru, mereka dilihat seperti kebal dan tidak terkesan langsung. Jadi timbul persoalan dalam kalangan peminat iaitu adakah mereka yang berada di FAM ini benar-benar cintakan bola sepak tanah air atau utamakan poket sendiri?