SIC akan dapat dana tambahan berjumlah RM7 juta daripada KBS untuk program pembangunan
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Sepang Antarabangsa (SIC), Azhan Shafriman Hanif memberitahu bahawa pihaknya akan menerima dana tambahan berjumlah RM7 juta daripada pihak Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) untuk program pembangunan pelumbaan di bawah seliaan mereka.
“Akan ada dana asing untuk pembangunan yang mana Menteri KBS, YB Hannah Yeoh umumkan sebentar tadi sekitar RM7 juta tapi kita belum dapat pengesahan daripada pihak KBS.
Apabila kita dapat surat daripada pihak KBS, kita akan umumkan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dana tersebut akan disalurkan kepada SIC untuk program latihan pelumba dimana pelumba-pelumba muda akan mempunyai jurulatih dan diberi sokongan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Selain dana untuk program pembangunan, Azhan Shafriman juga berterima kasih kepada Hannah Yeoh kerana memperuntukan dana berjumlah RM20 juta untuk SIC menaik taraf fasiliti litar.
“Tahun ini kita dapat dana untuk memperbaiki dan menaik taraf fasiliti-fasiliti di SIC. Sebahagian dari dana kita akan guna untuk turap balik sebahagian litar dan turut digunakan untuk menaik taraf fasiliti kita.”
Beliau pada masa sama turut berkata dana yang diberikan itu juga akan digunakan untuk menyelenggara sewage treatment plant kerana ia masih belum melakukan kerja-kerja naik taraf sejak tahun 1998.
Dalam pada itu, beliau yang mengakui sukan lumba kereta drag kini semakin popular dalam kalangan peminat sukan permotoran berharap satu litar drag bertaraf antarabangsa dapat dibina di SIC.
“Semua sedia maklum sukan lumba drag mempunyai ramai peminat-peminatnya. Kalau boleh saya mahu litar drag ini kalau diberi peluang dibina di SIC bertaraf antarabangsa dengan aspek yang paling diutamakan adalah keselamatan.
Kita tahu nyawa adalah sesuatu yang kita sangat hargai, jadi kita akan pastikan sesiapa yang ingin berlumba jika SIC mempunyai litar drag adalah untuk pastikan keselamatan pelumba.”