Perak FC perlu pertahankan DLTK, jadi pelindung saat beliau ‘diserang’ bertubi-tubi ketika ini

1,004

Nama Datuk Lim Teong Kim sering disebut-sebut oleh para peminat bola sepak tanah air setelah jurulatih tersebut menunjukkan sikap yang ‘kurang menyenangkan’ pada perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari.

Situasi ini berlaku apabila tindakan Teong Kim terhadap bekas anak buahnya di NFDP iaitu Arif Aiman serta responnya terhadap wartawan yang bertanyakan soalan kepadanya selepas perlawanan.


Perkara ini perlu dilihat secara meluas apabila tindakan seperti ini juga sering berlaku kepada jurulatih-jurulatih ternama dunia seperti Jose Mourinho dan Jurgen Klopp yang sering mempunyai kontroversi bersama pemain mahupun pihak media.

Tetapi ia bukanlah penanda aras untuk meletakkan seseorang jurulatih itu dilihat tidak profesional kerana setiap jurulatih mempunyai cara tersendiri seperti jurulatih kelahiran Melaka ini yang mempunyai karakternya tersendiri.

Apa yang lebih penting adalah peranan daripada pihak pengurusan bukan sahaja mempertahankan kelab, malah perlu mempertahankan jurulatih dan pemainnya yang telah memberi komitmen yang tinggi kepada pasukan.

Dalam isu Teong Kim, itulah perkara yang perlu dilakukan oleh Perak dalam memastikan motivasi jurulatih tersebut sentiasa dalam keadaan yang baik bagi mengendalikan pasukannya.

Selepas insiden yang berlaku pada perlawanan JDT itu, pengerusi dan juga ketua pegawai eksekutif kelab iaitu Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Bobie Farid Shamsudin ada mengeluarkan kenyataan masing-masing di media sosial yang seakan-akan ‘tidak berkenan’ dengan sikap Teong Kim.

Di saat Teong Kim kini berdepan dengan tekanan daripada media dan juga sebilangan penyokong, pastinya sokongan daripada majikan adalah sesuatu yang amat penting dan dapat memberi satu semangat buat dirinya untuk terus kuat membawa kelab itu.

Perak FC juga perlu memanfaatkan sebaiknya kehadiran Teong Kim ke dalam pasukan kerana pengalaman luas jurulatih tersebut di peringkat antarabangsa perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam membentuk pasukan muda yang mantap.

Dengan pengalamannya yang pernah menjadi jurulatih skuad muda B-19 Bayern Munich, ia merupakan satu kelebihan apabila mengendalikan skuad Perak yang majoriti pemainnya adalah pemain muda.

Para penyokong dan pihak pengurusan juga haruslah memberi kerjasama dan percaya dengan proses yang direncana oleh Teong Kim.

Malah, Khalid Jamlus bekas pemain Perak FC juga turut mengatakan Teong Kim hanya ingin menyuarakan hanya itu sahaja pemain-pemain yang ada dan melihat pengendali itu amat kecewa dengan kekalahan tersebut.

Walaupun hakikatnya, pemain yang ada hanyalah pemain muda jadi mereka perlu melalui fasa mencari kematangan dalam permainan dan ia semestinya memerlukan masa untuk mencapai tahap tersebut.