Main di ‘home’ pun bukan boleh jamin kemenangan – Tan Cheng Hoe
Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe tidak menganggap bermain di gelanggang sendiri memberi jaminan buat pasukannya mencatat kemenangan
Beliau menegaskan, walaupun pada bulan Ramadan pasukannya bermain semua perlawanan di Lembah Klang dan tidak perlu melakukan perjalanan jauh, mereka tetap perlu bersedia dengan bersungguh-sungguh mengharungi setiap perlawanan.
“Dalam bola sepak tiada jaminan jika bermain di gelanggang sendiri akan menang, main di gelanggang lawan pun boleh menang juga.
Sebab itu untuk setiap perlawanan kita kena ambil peluang dan menyesuaikan diri dengan situasi,”
Sementara itu, beliau mengakui masih banyak yang perlu yang diperbaiki oleh pasukannya untuk terus bersaing di tangga teratas Liga Super.
Tambahnya, beliau sedar sasaran penyokong yang mahu pasukan beraksi di kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan mengatakan bahawa ia perlulah realistik dan tidak terburu-buru.
“Saya memang sedar penyokong dahagakan Selangor untuk layak ke Asia, itu cabaran dan juga motivasi untuk saya bawa pasukan ini ke tahap itu.
Dalam masa yang singkat kita harus realistik dengan sasaran, perlulah fokus perlawanan demi perlawanan, tak boleh terlalu awal untuk dapatkan sasaran itu kerana kita tahu pasukan ini dibarisi ramai pemain muda dan perlu dapatkan keserasian.”
Dalam pada itu, beliau berharap semua pemain bersedia untuk diturunkan memandangkan terdapat beberapa kecederaan yang melanda pasukan.
Beliau berkata, pemain yang mendapat peluang haruslah memanfaatkannya dengan baik untuk membuktikan kemampuan mereka.