Penalti ‘ala-ala Barcelona’ JDT mahu malukan KDA FC?
Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mempamerkan aksi cemerlang mereka apabila berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA) 6-0 untuk terus mendominasi saingan liga.
JDT bukan sahaja mengekalkan rekod cemerlang dengan lapan kemenangan berturut-turut, mereka juga melakukan rekod jaringan apabila menjaringkan 36 gol dan hanya bolos satu gol sahaja.
Perlawanan tersebut menjadi tumpuan dek beberapa situasi menarik termasuk situasi sepakan penalti yang menyaksikan pemain JDT cuba melakukan sepakan ‘ala-ala Barcelona’ yang menyaksikan sepakan penalti tersebut dibatalkan.
Fernando Forestieri yang mengambil sepakan penalti membuat keputusan untuk tidak menyepak terus, sebaliknya menolak ke tepi untuk Arif Aiman.
Bagaimanapun pengadil perlawanan membatalkan gol tersebut kerana Arif berlari lebih awal sebelum Forestieri menyentuh bola.
Laws of the Game 2022/23 | Law 14 | The Penalty Kick [Pg118, 119 & 120] pic.twitter.com/EAE609sOib
— subkhiddin (@subkhiddin1) April 9, 2023
Insiden itu mendapat reaksi daripada bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh yang tampil menjelaskan mengapa jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil perlawanan.
Subkhiddin dalam penjelasan di laman sosial Twitter miliknya berkata gol tersebut tidak dikira kerana pemain lawan terlebih dahulu berada didalam kawasan penalti sebelum bola dimainkan oleh rakannya yang mengambil sepakan penalti.
Beliau berkata demikian merujuk kepada Peraturan 14 yang terkandung di dalam Buku Peraturan FIFA.
Tindakan itu dilihat seperti cuba untuk memalukan pasukan KDA berikutan ketika itu mereka sudah mendahului empat jaringan.
Soalan;
— subkhiddin (@subkhiddin1) April 9, 2023
Apakah gol dikira?
Jika tidak, kenapa?
KDA merupakan salah sebuah pasukan yang sebelum ini dikatakan bakal menjadi pencabar kejuaraan selain Selangor FC, Sabah FC dan Terengganu FC.
Dalam pada itu, tindakan pemain Harimau Selatan itu seperti memberi gambaran bahawa mereka adalah pasukan yang mustahil untuk ditewaskan pada musim ini dan hampir pasti mereka akan menjulang trofi Liga Super buat kali kesepuluh berturut-turut.
Dengan bajet yang cukup besar, fasiliti berkelas dunia termasuk deretan pemain kebangsaan dan pemain import yang cukup berkualiti menjadikan JDT sebagai pasukan terbaik bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di rantau Asia Tenggara.
Jadi tidak hairan apabila mereka hanya menjadikan perlawanan di Liga Super sebagai perlawanan latihan sahaja buat mereka bagi mempersiapkan pasukan untuk menghadapi kejohanan AFC Champions League (ACL).
Ini kerana JDT hanya akan berdepan cabaran apabila beraksi di ACL sahaja kerana ia menampilkan pasukan-pasukan gergasi di Asia.
Suka atau tidak, JDT akan terus mendominasi sekurang-kurangnya tiga hingga lima musim lagi sebelum pasukan lain mampu untuk cuba menyaingi.