Selamat bersara ‘budak Milo’ Pestabola Merdeka, Tan Sri Dr. Noor Hisham
Mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa wira negara Tan Sri Dr. Noor Hisham yang mempunyai perwatakan cukup baik dan sabar merupakan seorang yang sangat aktif dengan dunia sukan pada zaman persekolahannya.
Memetik laporan dari WORLD OF BUZZ, Noor Hisham pernah berpeluang untuk menjadi pengutip bola atau lebih dikenali sebagai panggilan ‘budak Milo’ ketika Pestabola Merdeka satu ketika dahulu.
Ketika itu, kejohanan Pestabola Merdeka merupakan kejohanan yang cukup berprestij di Asia dengan pasukan-pasukan besar seperti Jepun, Korea Selatan dan Argentina XI.
Beliau yang bersekolah di Methodist Boy’s School Kuala Lumpur (MBSKL) yang berhampiran dengan Stadium Merdeka telah terpilih sebagai salah seorang yang terlibat dalam kejohanan tersebut.
Peluang yang jarang-jarang datang ini pastinya digunakan sebaiknya dan sudah semestinya beliau pernah bertemu dengan lagenda bola sepak tanah air negara seperti Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh, Datuk Wira Soh Chin Aun, Hassan Sani dan ramai lagi.
Dalam pada itu, selain bola sepak, Noor Hisham juga seorang yang sangat dengan olahraga dan sangat terkenal di sekolahnya kerana sering mengharumkan nama sekolah sepanjang beliau aktif sebagai atlet olahraga.
Pasti ramai yang akan terkejut apabila mendapat tahu bahawa acara olahraga kegemaran beliau adalah lari berpagar.
Difahamkan juga beliau juga dikatakan akan sengaja membawa beg pada hari sukan di sekolahnya supaya memudahkannya untuk membawa pulang pingat yang dimenanginya.
Itulah mentaliti kemenangan yang ditunjukkan oleh Noor Hisham sejak dari bangku sekolah sehinggalah ke hari ini dan ia dapat dilihat bagaimana beliau yang merupakan Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengendalikan situasi pandemik sebelum ini.
Kebijaksanaan beliau dalam membendung pandemik telah menyaksikan beliau mendapat pujian ramai, malah turut mendapat pengiktirafan hasil sumbangan beliau apabila dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada 2021.
Kini setelah lama berkhidmat untuk negara, beliau sudah pun mengumumkan persaraannya pada bulan ini.
Selamat bersara Tan Sri!