R. Lakshmi tiada masalah sesuaikan diri dengan skuad Malayan Tigress B-17

209

Pemain pasukan kebangsaan wanita B-17, R. Lakshmi memberitahu beliau tidak berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan lain dalam skuad Malayan Tigress.

Lakshmi merupakan antara salah seorang daripada 25 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Petronella Douny bagi menyertai kem latihan pusat bermula 6 hingga 23 April 2023 menjelang kempen pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2024 di Buriram, Thailand bermula 26 April 2023.


“Tidak sukar untuk saya sesuaikan diri dengan rakan sepasukan kerana mereka semua sangat baik dengan saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga berkata walaupun kem latihan pusat berlangsung pada bulan Ramadhan, beliau kagum dengan rakan sepasukan yang mampu mempamerkan prestasi terbaik walaupun menjalani latihan dalam keadaan berpuasa.

“Latihan berjalan dengan begitu baik sekali dan kesemua pemain memberikan komitmen yang tinggi dalam setiap sesi latihan.”

Dalam pada itu, Lakshmi turut memberitahu beliau pada mulanya sedikit bergelut untuk memahami taktikal dan corak permainan yang diterapkan oleh ketua jurulatih, namun kini sudah semakin memahami.

“Pada mulanya sukar, tapi saya tidak ambil masa lama untuk memahami kehendak ketua jurulatih dan kini semuanya berjalan dengan lancar.”

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai sasaran pada kelayakan Piala Asia Wanita B-17 nanti, Lakshmi berharap beliau dan rakan sepasukan akan memberikan satu persembahan baik untuk cuba layak.

“Sasaran saya adalah untuk buat yang terbaik bersama pasukan kerana saya mahu banggakan kedua ibu bapa saya dan yang paling penting banggakan negara Malaysia.”