Skuad Malayan Tigress kali ini lebih baik dari sebelum ini – Steffi Sarge Kaur
Pemain bola sepak wanita negara, Steffi Sarge Kaur berpendapat bahawa pasukan yang dibentuk untuk kejohanan Sukan SEA Kemboja kali ini adalah lebih baik daripada sebelum ini.
Beliau melihat pasukan tersebut bermain dengan baik pada perlawanan persahabatan sebelum ini, termasuklah muka-muka baharu.
“Pada pendapat saya memang pasukan ini lebih baik daripada sebelum ini, kita dapat lihat pada perlawanan persahabatan pertama sebelum ini.
Sebagai sebuah pasukan, kita nak pastikan tahap kita semakin meningkat sehinggalah Sukan SEA nanti dan tidak menurun,”
katanya.
Beliau mengakui sesi latihan yang dilakukan oleh ketua jurulatih, Soleen Al-Zou’bi berintensiti tinggi tetapi semua pemain menyesuaikan diri dengan baik.
Sementara itu, beliau percaya Malaysia mampu meraih sesuatu daripada Sukan SEA Kemboja nanti walaupun diundi dalam kumpulan yang sukar bersama-sama Vietnam, Filipina dan Myanmar.
“Dah tentu kami diundi dalam kumpulan yang sukar dan kita tahu Vietnam dan Filipina adalah dua pasukan yang akan bermain di Piala Dunia.
Tetapi bagi saya tiada apa yang mustahil, kita hanya perlu berikan yang terbaik dan yakin antara satu sama lain, saya percaya kita boleh capai sesuatu di Kemboja nanti.”
Stefii berkata bahawa sepanjang seminggu sesi latihan dijalankan, semua pemain menunjukkan kesungguhan yang baik.
Selain itu, persefahaman dalam pasukan juga kini semakin baik dan mood dalam sesi latihan amat positif.