Fandi Ahmad akui bahagian tengah kurang kreatif, mahu bawa masuk pemain tengah baru pada jendela perpindahan kedua nanti

494

Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mendedahkan barisan pemain tengah yang kurang kreatif menjadi faktor utama kekalahan pasukannya 4-0 di tangan Selangor FC pada perlawanan Piala FA malam tadi.

Susulan itu, beliau berharap dapat membawa masuk beberapa pemain tengah baru pada jendela perpindahan kedua pada bulan Julai nanti bagi menguatkan lagi di bahagian tengah.


“Ya insyaAllah saya kena minta izin dulu. Tapi memang kita harus cari seorang atau dua orang pemain tengah kerana kita memang perlukan. Mudah-mudahan kita akan dapat.

Kita kekurangan pemain yang berkaliber yang boleh cipta banyak peluang. Hari ini kita tiada kreativiti,”

katanya.

Menurut Fandi, mereka turun pada perlawanan malam tadi dengan taktikal bertahan yang mana mereka mahu cuba menyerap serangan terlebih dahulu sebelum melakukan serangan balas.

Bagaimanapun selepas Selangor menjaringkan gol pertama pada minit ke-41′, beliau mengambil keputusan untuk mengubah corak permainan kepada menyerang sekaligus membuatkan perlawanan menjadi lebih terbuka.

“Kita memang nak hold dulu masa separuh masa pertama kerana kita kehilangan beberapa tonggak utama sebab itu kita tidak boleh bermain secara terbuka.

Lepas ketinggalan satu gol, kita memang nak menyerang pada separuh masa kedua untuk cari gol. Tapi serangan balas Selangor lebih cepat dan penyudah mereka luar biasa sekali. Hari ini persembahan pemain lawan cukup luar biasa.”

Fadhli Shas, Sergio Aguero dan Kevin Ingreso antara tonggak yang terpaksa diketepikan pada perlawanan malam tadi dek kecederaan.

“Ini bukan alasan tapi kita memang kekurangan pemain tengah. Itu sebab pada separuh masa kedua kami terpaksa masukkan ramai pemain penyerang untuk bermain di posisi tengah.”

Kekalahan pada malam tadi menyaksikan perjalanan skuad Tok Gajah di Piala FA sudah pun tamat dan fokus mereka kini beralih kepada saingan Liga Super.

Untuk saingan liga, Sri Pahang merupakan salah satu pasukan yang masih lagi belum tewas selepas lapan perlawanan bersama juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Mereka kini menduduki di tangga ketiga selepas mengutip 16 mata hasil empat kemenangan dan empat seri.