Rose tak gementar langsung sejak hari pertama jadi hos MPL MY
Landskap e-sports di Malaysia semakin berkembang dan popular ketika ini di mana tidak keterlaluan jika hendak dikatakan saingan Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL Malaysia) musim ke-11 adalah musim paling meriah.
Apa yang membuatkan MPL MY semakin menjadi menarik bukan sahaja kerana pasukan-pasukan yang bertanding, tetapi juga hosnya yang dikenali sebagai Rose.
Beliau yang dikenali sebagai panggilan Trilingual Queen dek kemampuannya untuk bertutur dalam tiga Bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Tagalog membuatkan beliau menjadi perhatian peminat.
Walaupun MPL MY musim ke-11 adalah musim pertamanya sebagai hos, namun ramai memuji presembahan Rose sebagai hos sejak debutnya kerana beliau tidak memperlihatkan rasa gementar langsung apabila berada di pentas gelanggang.
“Saya tidak rasa gementar langsung untuk MPL ini. Saya rasa ini kerana ramai caster beritahu saya yang persiapan adalah penting. Kalau anda buat persiapan dan tahu apa yang anda cakap, anda tidak akan berasa gementar.
Itu yang saya buat di mana saya buat persiapan rapi terutamanya sebelum saya membuat debut,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, beliau juga banyak membuat ulang kaji sendiri dengan menonton cara mengacara daripada hos MPL Filipina dan MPL Indonesia.
Rose juga bersyukur apabila persembahannya mendapat reaksi positif daripada peminat-peminat dan berharap agar tiada peminat yang akan cuba membandingkan caranya mengendalikan MPL MY musim ini dengan hos terdahulu.
“Setakat ini review yang saya lihat ketika ini semuanya positif tapi saya rasa lebih baik tiadak perbandingan dilakukan kerana setiap orang ada kelebihan dan kelemahan masing-masing.
Mungkin kelebihan saya adalah saya boleh bercakap dalam beberapa Bahasa tapi saya rasa kita patut kurangkan kecaman ke tahap minimun kerana semua orang ada perasaan termasuk hos terdahulu dan juga saya.”
Dalam pada itu, Rose juga mengakui pengalamannya bermain sendiri Mobile Legends dan content creator Mobile Legends lebih lima tahun banyak membantunya untuk menjadi hos yang baik untuk MPL MY.
MPL MY musim ke-11 menyaksikan sebanyak 10 pasukan akan berentap merebut kejuaraan iaitu Team HAQ, TODAK, Team SMG, RSG Slate MY, Red Esports, Team Lunatix, Homebois, Red Giants Esports, Madness Gaming dan Team Secret dan merebut hadiah berjumlah sekitar RM443,000.