Kalau Soloz nak main, beliau kena datang latihan – Saiful
Jurulatih dan penganalisis Homebois, Saiful memberitahu beliau dan seorang lagi jurulatih iaitu Steve “Dale” Vitug sentiasa bersikap terbuka dan tiada pilih kasih dalam perihal pemilihan pemain yang akan diturunkan.
Menurut Saiful, setiap pemain yang diturunkan adalah berdasarkan prestasi semasa mereka dan jika Soloz ingin turun beraksi beliau harus turun berlatih.
“Jawapan untuk Soloz diturunkan ada pada beliau sendiri sebab untuk peminat Homebois yang mana nak tengok Soloz main jawapan itu ada pada Soloz sendiri.
Kalau beliau boleh turun latihan pasti beliau akan diturunkan kerana saya dan coach Dale sentiasa bersikap adil dan tak kisah siapa pemain itu sekali lagi. Selagi beliau memegang gelaran pemain beliau harus dengar cakap barisan kejurulatihan dan sentiasa komited dengan latihan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambah Saiful lagi, MPL MY adalah perlawanan berpasukan oleh itu setiap pemain harus memberikan komitmen yang cukup tinggi sekiranya mahu menang.
Oleh itu, beliau dan Dale terbuka untuk menurunkan Soloz sekiranya beliau dapat turun berlatih bersama rakan sepasukan.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai prestasi pasukannya pada saingan MPL MY musim ini, Saiful nyata gembira dengan peningkatan yang dipamerkan oleh pemain-pemainnya.
“Secara keseluruhan prestasi pasukan telah memperlihatkan peningkatan berbanding musim-musim lepas.”
Sementara itu, beliau mengakui mengakui memikul tanggungjawab cukup besar untuk mengendalikan pasukan kerana menganggap Homebois sebagai keluarga keduanya.
“Main atau tidak saya memang Homebois dari dulu. Tanggungjawab saya dalam pasukan sudah seperti keluarga kedua saya, oleh sebab itu saya mahu mereka menang dan akan sentiasa bersama mereka untuk membantu.”