Moon Todak akui prestasi cemerlang yang dipamerkan adalah hasil pengorbanan besar yang dilakukannya
Pemain pasukan e-sports Todak, Zikry “Moon” Shamsuddin bersyukur apabila pengorbanan besar yang dilakukannya membuahkan hasil apabila beliau berjaya mempamerkan prestasi cemerlang untuk bantu pasukannya dalam saingan Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL Malaysia) musim ke-11.
Menurut Moon, beliau mengakui musim lalu prestasinya sedikit merosot dek banyak perkara yang berlaku dalam hidupnya termasuk sibuk menguruskan perihal peribadi yang mana beliau telah mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, selepas semua urusan peribadi selesai beliau telah mengambil keputusan untuk kembali memberi tumpuan pada kerjayanya dan sanggup mengorbankan masa bersama isteri.
“Kalau ikutkan pada musim lepas saya sibuk dengan urusan perkahwinan dan lepas kahwin, sibuk nak mencari rumah pula dan menyelesaikan banyak lagi urusan jadi perkara itu sedikit sebanyak mempengaruhi waktu latihan saya yang berkurangan.
Jadi untuk musim ini jurulatih minta saya datang ke gaming house untuk berlatih saya terpaksa berkorban masa bersama isteri untuk memberi tumpuan kepada latihan,”
katanya.
Moon berkata prestasi cemerlang yang dipamerkannya bukan hasil usaha beliau seorang, sebaliknya ia adalah hasil kerjasama bersama rakan sepasukan.
“Kredit harus diberikan kepada rakan sepasukan juga kerana mereka banyak membantu saya. Perjuangan ini bukan saya seorang dan dengan pujian yang diberikan oleh jurulatih terhadap saya, apa yang saya boleh kata adalah terima kasih kepada semua rakan sepasukan saya.”
Beliau berkata demikian selepas jurulatihnya Behave memuji prestasinya yang dikatakan menunjukkan peningkatan yang cukup ketara.
“Saya bangga dengan prestasi Moon. Walaupun musim lepas prestasi beliau merosot, namun musim ini beliau kembali dengan cukup baik sekali.”
Behave juga memuji keseluruhan prestasi pasukan dan menyuarakan keyakinan beliau bahawa pasukan Todak mampu layak mara ke perlawanan akhir.
“Saya rasa dengan momentum pasukan ketika ini kita mampu untuk mara ke perlawanan akhir. Saya berkata demikian selepas melihat sendiri komitmen mereka ketika latihan, cara mereka bermain, disiplin yang tinggi dan konsisten.”