Dian Aqilah, Noorshyfika Melvin korbankan sambutan Aidilfitri demi negara

242

Pemain pasukan kebangsaan wanita B-17, Dian Aqilah tidak berasa ralat apabila beliau tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dek sibuk dengan kem latihan pusat Malayan Tigress.

“Walaupun ramai yang sedang sibuk dengan persiapan menjelang Aidilfitri nanti, kami di sini juga sibuk dengan latihan demi negara dan akan menyelesaikan misi negara terlebih dahulu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Skuad wanita B-17 telah pun memulakan kem latihan pusat sejak 6 April lalu dan akan tamat pada 23 April sebelum terbang ke Thailand untuk menyertai pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2024 di Buriram, Thailand bermula 26 April ini.


Dian pada masa sama turut mengakui keserasian bersama rakan sepasukannya juga semakin baik kerana mereka bekerja cukup keras sepanjang tempoh latihan.

Dalam pada itu, Noorshyfika Melvin pula memberitahu bahawa tempoh dua minggu berlatih bersama rakan sepasukan telah menambahkan keyakinannya.

“Saya tidak berdepan masalah besar sejak menyertai pasukan dan cukup selesa dan dapat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan dan juga ketua jurulatih.”

Beliau juga berkata mereka sudah pun bersedia untuk menghadapi kempen kelayakan Piala Asia dan berharap dapat memberikan persembahan terbaik untuk cuba dapatkan keputusan positif.

Malayan Tigress B-17 telah diundi dalam Kumpulan A bersama Northern Mariana, Thailand dan Indonesia.