Saya dah jawab banyak kali, isu suar bukan kuasa MFL, kena tanya FAM – Stuart Ramalingam

291

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan berkenaan isu suar atau apa-apa yang melibatkan isu tatatertib.

Beliau berkata bahawa perkara itu adalah di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), justeru badan itu yang layak menjawab sebarang persoalan.


“Saya dah jawab perkara ini banyak kali bahawa ia di bawah kelolaan FAM, apa-apa tindakan tatatertib adalah di bawah tindakan FAM, di situlah tempat buat keputusan.

Jadi perkara ini bukan untuk saya komen, saya dah jawab banyak kali kena dapatkan komen lebih dari FAM,”

katanya.

Jelasnya, undang-undang mengenai suar diwujudkan adalah untuk memastikan keselamatan dalam stadium terjamin.

Stuart mengakui bahawa dalam gambar, memang nampak menakjubkan jika terdapat suar yang dibakar oleh penyokong namun ia adalah tentang isu disiplin.

“Dalam gambar memang nampak menakjubkan tetapi ia bukan berkenaan gambar tetapi ia adalah isu disiplin, jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa.”

Pada perlawanan Piala FA minggu lalu, penyokong JDT membakar suar sejurus selepas kemenangan 3-0 pasukan itu ke atas PDRM FC.

Sebelum perlawanan tersebut, penyokong JDT juga turut membakar suar selepas tamat perlawanan Liga Super menentang Sabah FC dan juga Kedah Darul Aman FC.