Tiada keperluan untuk kami ke luar negara, apa yang kami nak semua ada di sini – Soleen Al-Zoubi

252

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita, Soleen Al-Zoubi memberitahu tiada keperluan untuk mereka ke luar negara untuk mengatur perlawanan persahabatan kerana apa yang mereka mahu ada di sini.

Soleen turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak FAM (FAM) yang sentiasa memenuhi setiap permintaan mereka.


“FAM beri sokongan sepenuhnya dan penuhi kesemua kehendak kami. Apa yang paling penting bagi saya adalah untuk pergi luar ialah dengan tidak pergi ke luar negara kerana apa yang kami mahukan semuanya ada di sini.

Saya juga ingin ambil peluang ini untuk berterima kasih kepada FAM kerana menyediakan kesemua keperluan kami seperti penginapan, padang latihan, pengangkutan dan banyak lagi, tapi perkara paling penting adalah untuk bermain perlawanan antarabangsa.

Malangnya kebanyakan negara selepas selesai kelayakan Olimpik mereka tidak mempunyai perancangan lagi untuk mengatur sebarang perlawanan. Oleh sebab itu kami sukar mencari pihak lawan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, pada awalnya mereka sudah mengatur perlawanan persahabatan dengan Maldives tetapi ia tidak berjaya menjadi kenyataan berikutan kedua-dua pihak tidak dapat mencapai kata persetujuan.

Bagaimanapun, beliau berkata pasukannya masih mengatur perlawanan persahabatan dengan skuad B-18 dan skuad B-20 lelaki.

“Mereka mahu datang dalam tempoh yang panjang, tetapi kami mahu mengatur satu perlawanan sahaja, oleh sebab itu mereka menolaknya dan sehingga kini kami masih belum berjaya cari pihak lawan baru.

Tetapi kami masih lagi kerap bermain dalam perlawanan persahabatan tertutup dengan skuad remaja lelaki dan skuad lelaki.”

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perkembangan pasukannya, Soleen gembira dengan perkembangan semasa pemain-pemainnya namun berkata ia masih lagi awal kerana mereka kini dalam proses membina skuad baru.

Menurutnya, kesemua pemain perlukan masa untuk menyerap segala perancangan taktikal dan corak permainan yang diterapkannya.

Skuad Malayan Tigress yang mula menjalani kem latihan pusat bermula sejak 5 April lalu sehingga 29 April adalah bagi mempersiapkan pasukan untuk temasya Sukan SEA Kemboja 2023 yang akan berlangsung pada 2 hingga 16 Mei ini.

Soleen enggan memberi sebarang jaminan skuadnya mampu pergi jauh pada temasya kali ini kerana perlu realistik dengan keadaan skuadnya ketika ini.

“Untuk memecahkan rekod 10 tahun lalu berjaya lepasi peringkat kumpulan buat masa ini adalah sukar. Kita harus realistik kerana pasukan-pasukan yang akan kita bertemu dalam peringkat kumpulan adalah pasukan yang bermain di Piala Dunia, jadi saya tidak boleh beri sebarang jaminan yang kami mampu lepasi peringkat kumpulan.”

Beliau bagaimanapun berkata pasukan sedia ada ketika ini mempunyai potensi besar untuk masa hadapan.

Skuad Malayan Tigress telah diundi dalam Kumpulan A yang turut dihuni oleh pasukan Vietnam, Myanmar dan Filipina.