Main enam perlawanan ‘straight’ di tempat lawan memang sukar, bagilah KUFC jadual sama rata juga – Nazrulerwan Makmor

182

Pemangku ketua jurulatih Kelantan United FC, Nazrulerwan Makmor mengakui bermain enam perlawanan Liga Super berturut-turut memberi kesukaran buat pasukannya bersaing.

Beliau berkata, jarak terlampau jauh dari satu perlawanan ke perlawanan lain memberi pasukannya sedikit masa untuk pemulihan dan mendapatkan kecergasan bagi menghadapi setiap perlawanan.


“Kami harungi enam perlawanan di tempat lawan di mana jarak yang terlampau jauh, bukan mahu memberi alasan tetapi kita harus lihat beberapa faktor yang memberi kesan seperti kecergasan pemain, kecederaan pemain, pemulihan pemain dan banyak lagi.

Kalau boleh sekurang-kurangnya bagilah jadual kita sama rata seperti pasukan lain juga,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau bagaimanapun akur jadual telah disusun sejak awal lagi dan hanya mampu mengharungi perlawanan-perlawanan tersebut sebaik mungkin.

Kelantan United bermain di gelanggang lawan sejak perlawanan kelima Liga Super menentang PDRM FC, sehinggalah perlawanan ke-10 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Beliau berharap selepas perlawanan menentang JDT, pasukannya mampu menunjukkan peningkatan apabila kembali bermain di gelanggang sendiri.

“Lepas raya kita banyak bermain di gelanggang sendiri jadi mungkin ia mampu beri kelebihan kepada kami, tetapi apa-apa pun kita harus selesaikan perlawanan sebelum itu terlebih dahulu.

Dalam tempoh itu juga ada cuti panjang jadi ketika itu kita boleh rencanakan pelan kita ketika itu, apa yang penting adalah pemain dapat sesuaikan diri dengan taktikal yang kita mahu terapkan.”

Beliau melihat sejak dirinya mengambil alih pasukan daripada bekas ketua jurulatih, Tomas Trucha yang dipecat awal bulan ini, pasukan telah menunjukkan peningkatan dari segi permainan dan motivasi.

Walaubagaimanapun, Nazrulerwan berkata mereka masih perlu memperbaiki bahagian serangan yang dilihat sukar untuk mencetak gol.