Tak dapat beraya tahun ni tak apa sebab main untuk negara – Farahhiyah Ridzuan

96

Pemain pasukan kebangsaan wanita, Farahhiyah Ridzuan tidak berasa ralat langsung apabila tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tahun ini demi tugasan negara.

Farahhiyah kini bersama skuad Malayan Tigress menjalani kem latihan pusat bermula 5 April lalu sehingga 29 April ini untuk persiapan mengharungi temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja pada 2 hingga 16 Mei ini.


“Saya rasa perkara tu tak jadi masalah kot sebab sebagai pemain bola sepak saya perlu sesuaikan diri dengan perkara seperti itu.

Tak dapat beraya dengan keluarga tahun ini tak apalah sebab main untuk negara kan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau adalah salah seorang daripada 25 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Soleen Al-Zoubi untuk menjalani latihan yang mana hanya 20 pemain sahaja yang akan terpilih ke Kemboja awal bulan Mei ini.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan pemain futsal kebangsaan mengakui bermain bola sepak padang lebih sukar berbanding futsal.

“Bola sepak lebih susah dari futsal, tapi saya ambil perkara itu sebagai cabaran untuk saya terus perbaiki segala kemahiran saya dan Alhamdulillah saya sudah boleh menyesuaikan diri.”

Dalam pada itu, Farahhiyah juga memberitahu bahawa latihan bersama rakan sepasukan kini semakin baik dan mereka semakin serasi dan boleh menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diterapkan oleh ketua jurulatih.

Skuad Malayan Tigress yang akan beraksi di Sukan SEA nanti telah diundi dalam Kumpulan A bersama Vietnam, Filipina dan Myanmar.