Tak kiralah pihak lawan lebih besar, apa yang penting saya mahu lebih laju dari mereka – Ayuna Lamsin

238

Pemain kebangsaan wanita, Ayuna Lamsin mengakui fizikalnya sememangnya kecil namun beliau tidak melihat perkara itu sebagai kekurangan buat dirinya sebagai pemain bola sepak.

Ini kerana Ayuna yang bermain di posisi sayap berkata, walaupun pihak lawan mempunyai saiz fizikal yang lebih besar, namun beliau akan pastinya dirinya lebih laju.


“Untuk sizing memang saya paling bawah, tapi saya selalu setkan minda saya yang tidak kira besar macam mana sekali pun pihak lawan, yang penting saya mesti laju daripada mereka. Itu cara saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ayuna juga mengakui latihan yang diterapkan oleh ketua jurulatih Soleen Al-Zoubi sangat berintensiti dan menuntut setiap pemain perlu berada dalam tahap kecergasan yang tinggi.

“Semuanya okay ketika ini, tapi latihan sekarang ini memang intensiti tinggi. Memang penat tapi latihan ketua jurulatih ketika ini sangat menekankan tahap kecergasan pemain.”

Tambahnya lagi, walaupun penat dengan corak latihan berintensiti tinggi, namun beliau tidak berputus asa sebaliknya berasa lebih bersemangat lagi terutamanya apabila melihat rakan sepasukan yang beragama Islam mampu memberikan komitmen tinggi walaupun sedang berpuasa.

“Bila saya tengok pemain Muslim saya lebih bersemangat sebab mereka berpuasa tapi semangat mereka lebih tinggi dari saya. Saya kagum dan saya mahu ikut seperti mereka.”

Beliau adalah salah seorang daripada 25 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat bermula 5 hingga 29 April ini bagi persiapan untuk mengharungi temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja yang akan berlangsung pada 2 hingga 16 Mei ini.